Pasangan diraja Britain Putera Harry dan Meghan Markle kini mencari pengganti pengasuh bayi mereka, Archie, untuk kali yang ketiga dalam tempoh enam bulan, selepas dua individu yang digaji sebelum ini mengambil keputusan berhenti.

Terdapat laporan yang mendakwa pasangan itu sukar memberi kerjasama.

Begitupun, tiada sebarang maklumat atau pendedahan mengenai dua pengasuh sebelum ini, sama ada mereka berhenti secara sukarela atau diminta untuk berhenti.

Menurut sumber istana, pasangan itu mengambil masa untuk mencuba pendekatan berlainan dengan pengasuh yang berbeza.

Dalam pada itu, menurut sumber The Sun, keperluan dan permintaan pasangan diraja itu sering berbeza pada setiap masa dan fasa.

“Pengasuh yang pertama merupakan pengasuh pada waktu malam, tetapi Harry dan Meghan tidak mahu terburu-buru dalam membuat keputusan.

“Ia terlalu peribadi dan bergantung kepada keperluan bayi dan ibu bapanya,” katanya.

Pada ketika ini, pasangan diraja itu menjaga anak mereka bersama-sama dengan bantuan ibu Meghan, Doria Ragland.

“Meghan bangun pada waktu malam untuk menjaga Archie dan menyusukannya,” kata penulis biografi diraja, Katie Nicholl kepada Entertainment Online.

Sementara itu, menurut Harper’s Bazaar, bakal pengasuh baharu itu tidak akan tinggal di Fragmore Cottage secara tetap dan tidak akan bekerja pada hujung minggu.