ADIK kepada pewaris kedua takhta Britain, Putera Harry, bakal berkahwin dengan wanita pilihannya, Meghan Markle.

Menurut sumber rasmi istana, majlis perkahwinan itu akan diadakan pada musim bunga 2018.

"Putera Harry telah memberitahu Ratu Elizabeth dan seisi keluarganya. Beliau juga telah mendapat restu dari pihak keluarga Meghan," menurut Kensington Palace menerusi laman media sosial, Twitter.


Dalam satu kenyataan, Putera Harry meluahkan rasa gembira dengan ikatan pertunangan bersama pelakon yang popular menerusi drama bersiri Suit itu, awal bulan ini.

Putera Harry juga telah bertemu dengan ibu Meghan, Doria Ragland, tahun lalu.

Hubungan yang telah bermula sejak tahun lalu itu pada mulanya dirahsiakan daripada pengetahuan umum sehingga khabar angin mula diperkatakan umum pada November tahun lalu.



Pelakon wanita kelahiran California, Amerika Syarikat itu dipertemukan dengan Putera Harry di London oleh kenalan rapat mereka pada Julai tahun lalu.

Putera Harry merupakan cucunda kepada Permaisuri Elizabeth II dan anakanda kedua Putera Charles dengan Puteri Diana.