DUNIA

Putera Mahkota Iran dalam buangan gesa dunia bantu jatuhkan kerajaan Tehran

Agensi 16/01/2026 | 23:30 MYT
Dalam sidang media di Washington, Pahlavi mendakwa, sebahagian anggota keselamatan Iran enggan menyertai tindakan keras terhadap penunjuk perasaan, memaksa kerajaan membawa masuk kumpulan pejuang asing bagi mengekang bantahan. - Gambar AP
WASHINGTON: Putera Mahkota Iran dalam buangan, Reza Pahlavi, menggesa masyarakat antarabangsa membantu penunjuk perasaan menjatuhkan kerajaan Iran, sambil menegaskan keyakinannya bahawa “Republik Islam pasti tumbang - bukan jika, tetapi bila.”

Pahlavi yang berpusat di Amerika Syarikat (as) meminta dunia menyasarkan kepimpinan Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) yang menurutnya akan “memudahkan usaha rakyat dan mengurangkan pertumpahan darah.”

Protes besar-besaran tercetus sejak 28 Disember lalu akibat krisis ekonomi sebelum bertukar menjadi tuntutan menamatkan pemerintahan Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Hosseini Khamenei.

Kumpulan hak asasi manusia mendakwa lebih 2,500 penunjuk perasaan terbunuh setakat ini.

Kerajaan Iran menolak demonstrasi itu, menyifatkannya sebagai “rusuhan” yang didalangi musuh Tehran.

Dalam sidang media di Washington pada Jumaat, Pahlavi mendakwa, sebahagian anggota keselamatan Iran enggan menyertai tindakan keras terhadap penunjuk perasaan, memaksa kerajaan membawa masuk kumpulan pejuang asing bagi mengekang bantahan.

Beliau menggesa tindakan antarabangsa termasuk:

1) Menyasarkan IRGC dan pusat arahan mereka
2) Menekan kerajaan Iran melalui sekatan ekonomi
3) Mengusir diplomat Iran
4) Menuntut pembebasan semua tahanan politik
5) Menyediakan akses komunikasi melalui internet satelit seperti Starlink

“Rakyat Iran sedang bertindak. Kini masanya dunia menyertai mereka sepenuhnya,” katanya.

“Rejim ini akan tumbang juga - tetapi lebih cepat dan lebih banyak nyawa dapat diselamatkan, jika dunia bertindak.”

Enggan ulas laporan pertemuan dengan pegawai AS

Pahlavi enggan mengulas laporan beliau berbincang dengan pegawai kanan AS, namun menyatakan keyakinan bahawa Presiden Donald Trump “akan berdiri bersama rakyat Iran.”

Trump sebelum ini memberi amaran keras kepada Tehran agar tidak membunuh penunjuk perasaan, malah tidak menolak kemungkinan tindakan ketenteraan jika keadaan memuncak.

Iran pula memberi amaran bahawa serangan AS akan membuka ruang untuk mensasarkan kepentingan tentera Amerika dan Israel di rantau itu.

AS dan United Kingdom turut mengurangkan jumlah anggota di Pangkalan Udara Al‑Udeid di Qatar sebagai langkah berjaga-jaga.

Pahlavi turut berikrar akan kembali ke Iran apabila keadaan mengizinkan serta merangka Perlembagaan baharu yang menekankan:

Ditanya tentang peranannya dalam masa depan Iran, beliau berkata, keputusan terletak sepenuhnya pada rakyat. Namun beliau percaya dirinya mampu memimpin proses perubahan.

Bapanya, Shah Mohammad Reza Pahlavi digulingkan dalam Revolusi Islam 1979 sebelum Iran beralih kepada pemerintahan berteraskan ulama Syiah.

Kerajaan Iran juga melaksanakan sekatan internet menyeluruh sejak 8 Januari, menyukarkan laporan media antarabangsa.

Penduduk di beberapa bandar utama termasuk Tehran, Karaj, Isfahan dan Sanandaj memaklumkan tiada protes dilihat pada Jumaat, namun pasukan keselamatan masih berkawal ketat di jalan raya dan dataran awam. - Agensi



#konflik Iran #Protes Iran #Putera Mahkota Iran #Reza Pahlavi