Putera Philip dipindahkan ke hospital lain selepas hampir dua minggu dirawat

Agensi
Mac 1, 2021 13:42 MYT
Selain rawatan untuk jangkitan yang masih lagi tidak dikenal pasti, Putera Philip juga akan menjalani ujian dan pemerhatian jantung. - Reuters
LONDON: Selepas hampir dua minggu terlantar di hospital, Putera Philip dipindahkan ke hospital lain di kota London bagi menjalani rawatan akibat jangkitan.
Istana Buckingham dalam satu kenyataan mengesahkan, Duke of Edinburgh yang berusia 99 tahun itu dipindahkan dari Hospital King Edward ke Hospital St Bartholomew.
Selain rawatan untuk jangkitan yang masih lagi tidak dikenal pasti, baginda juga akan menjalani ujian dan pemerhatian jantung.
BACA: Putera Philip dimasukkan ke hospital selepas dilaporkan tidak sihat
Pada 17 Februari lalu, Putera Philip dibawa ke Hospital King Edward selepas dilaporkan tidak sihat atas nasihat pasukan perubatan.
Istana bagaimanapun memaklumkan, Putera Philip yang juga suami Ratu Elizabeth berada dalam keadaan stabil dan bertindak balas terhadap rawatan tetapi dijangka dirawat di hospital sehingga hujung minggu ini.
Untuk rekod, Ratu Elizabeth, 95, dan Putera Philip menjadi antara yang terawal di Britain menerima suntikan vaksin COVID-19 iaitu pada 11 Januari lalu.
#Britain #London #COVID-19 #Putera Philip #Duke of Edinburgh #Ratu Elizabeth