DUNIA
Puteri Wales, Kate Middleton kongsi pengalaman sukar pemulihan kanser
Kate Middleton ceria semasa mengadakan lawatan ke Taman Kesejahteraan di Hospital Colchester, Essex pada Rabu.
LONDON: Puteri Wales, Kate Middleton buat pertama kalinya berkongsi secara terbuka pengalaman sukar yang dilalui selepas menjalani rawatan kemoterapi, ketika tampil dalam penampilan awam pertamanya selepas menarik diri secara mengejut daripada acara Royal Ascot dua minggu lalu.
Dalam lawatan ke Taman Kesejahteraan di Hospital Colchester, Essex pada Rabu, Kate mengakui, fasa selepas rawatan adalah lebih mencabar daripada yang disangka.
“Kita selalu tunjuk wajah yang tabah, melalui rawatan dengan penuh kekuatan. Bila rawatan selesai, kita rasa seperti boleh kembali kepada rutin biasa.
"Tapi sebenarnya, fasa selepas rawatan itu sangat sukar. Kita sudah tidak lagi di bawah pemantauan langsung pasukan perubatan, tapi pada masa sama kita belum benar-benar pulih untuk jalani kehidupan seperti biasa di rumah,” katanya kepada pesakit-pesakit di sana.
Lawatan itu bertujuan meraikan “keajaiban penyembuhan yang dibawa oleh alam semula jadi,” menurut kenyataan Istana Kensington.
Puteri Wales turut melawat Pusat Kesejahteraan Kanser hospital berkenaan dan bertemu pesakit serta kakitangan bagi memahami bagaimana taman-taman di fasiliti kesihatan mampu memainkan peranan penting dalam menyokong pemulihan pesakit, menggalakkan kesihatan menyeluruh serta mencegah kemerosotan kesihatan, kata pihak istana lagi.
Kate, 43, sejak tahun lalu sering menekankan peranan penting alam semula jadi dalam proses pemulihannya.
“Dalam setahun ini, alam semula jadi menjadi tempat perlindungan dan ketenangan buat saya,” katanya dalam sebuah video yang dimuat naik sempena Minggu Kesedaran Kesihatan Mental pada Mei lalu.
Puteri Wales itu mendedahkan beliau didiagnosis kanser dan memulakan rawatan kemoterapi pada Mac tahun lalu.
Sepanjang tempoh rawatan, beliau menjauhkan diri daripada aktiviti awam dan hanya muncul beberapa kali sahaja pada musim panas tahun lalu.
Pada September 2024, beliau mengumumkan telah menamatkan kemoterapi dan kini berusaha “melakukan apa yang termampu untuk kekal bebas daripada kanser.”
Meskipun telah kembali menghadiri beberapa acara tahun ini, Kate difahamkan masih dalam usaha menyesuaikan diri dan mencari keseimbangan dalam melaksanakan tugas awam selepas selesai rawatan.
Sebelum menarik diri dari Royal Ascot, beliau sempat menghadiri beberapa acara utama dalam kalendar diraja termasuk perbarisan Trooping the Colour di London dan istiadat Order of the Garter di Windsor.
Minggu lalu, beliau kembali menjalankan tugas secara bersemuka apabila bersama Putera William menerima kunjungan Melinda French Gates di Istana Windsor.
Menurut agensi berita PA, pertemuan itu dipercayai untuk berbincang mengenai inisiatif kebajikan masing-masing.
Lawatan ke Hospital Colchester pada Rabu turut diserikan dengan penyerahan 50 anak pokok bunga ros khas yang dinamakan Catherine’s Rose, hasil hibrid yang dicipta khas oleh Persatuan Hortikultur Diraja sebagai penghormatan kepada beliau.
Beberapa pokok ros itu turut ditanam sendiri oleh Puteri Wales itu dengan hasil jualan komersial bunga tersebut akan disalurkan kepada Tabung Amal Kanser Royal Marsden.
Kate kini semakin aktif dalam kerja amal berkaitan kanser sejak menerima diagnosis.
Pada Januari lalu, Istana Kensington mengumumkan beliau dilantik sebagai penaung bersama bagi The Royal Marsden NHS Foundation Trust - pusat rawatan kanser pakar di Chelsea, London Barat, tempat beliau menerima rawatan.
Dana daripada jualan bunga ros itu akan digunakan untuk menubuhkan program khas bagi membantu pesakit kanser menjalani kehidupan yang lebih baik ketika dan selepas rawatan. - Agensi