DUNIA
Putin berharap konflik Israel-Iran kini 'tinggal sejarah'
Putin berucap pada sesi pleno Forum Ekonomi Eurasia di Minsk, Belarus, 26 Jun 2025. (Foto AP)
MOSCOW: Presiden Rusia Vladimir Putin pada Khamis menyuarakan harapan agar konflik antara Israel dan Iran akan segera dianggap sebagai perkara yang telah berlalu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Bercakap pada sesi pleno Forum Ekonomi Eurasia di Minsk, Belarus, Putin berkata Iran merupakan antara negara yang telah memeterai perjanjian perdagangan keutamaan dengan Kesatuan Ekonomi Eurasia (EAEU).
"Dengan izin Tuhan, situasi di Timur Tengah kini semakin reda, dan konflik antara Israel dan Iran, syukur, boleh dianggap sebagai sesuatu yang telah berlalu.
"Ini bermakna hubungan boleh dibangunkan dengan semua negara serantau, termasuk Iran - seperti yang saya sebutkan, kami telah memeterai perjanjian berkaitan dengan mereka," katanya.
Pada 22 Jun, Amerika Syarikat (AS) menggugurkan enam bom "bunker buster" ke atas kemudahan nuklear Fordow di Iran serta melancarkan beberapa peluru berpandu dari kapal selam di dua lokasi lain di Natanz dan Isfahan sebagai sebahagian daripada kempennya menentang program nuklear Iran.
Serangan itu menyusuli 12 hari berturut-turut serangan udara Israel yang bermula pada 13 Jun, menyasarkan tapak ketenteraan, nuklear dan awam di seluruh Iran.
Permusuhan tersebut dihentikan pada Selasa selepas Presiden AS Donald Trump mengumumkan gencatan senjata.
-- BERNAMA