Putin beri amaran ketidakstabilan di Asia Barat boleh jadi pencetus perang dunia

Firdaus Azil
Januari 16, 2020 07:05 MYT
Perlu ada perbincangan serius mengenai keselamatan dan kestabilan antarabangsa, terutamanya mengenai lima negara berkeupayaan nuklear.
Presiden Rusia Vladimir Putin pada Rabu memberi amaran ketidakstabilan yang berlaku di rantau Asia Barat ketika ini boleh mengakibatkan perang dunia.
Ketika berucap di Perhimpunan Persekutuan Rusia di Moscow, Putin berkata, perlu ada perbincangan serius mengenai keselamatan dan kestabilan antarabangsa, terutamanya mengenai lima negara berkeupayaan nuklear, yang mempunyai tanggungjawab dalam pembangunan insan.
“Konflik serantau itu boleh menjadi ancaman kepada keselamatan antarabangsa secara mendadak. Perlu ada perbincangan serius tentang perintah dunia yang baharu. Lima negara itu perlu bersama-sama menghapuskan punca yang boleh mengakibatkan perang,” tegasnya lagi.
Putin berkata, Rusia ketika ini rasa terjamin memandangkan mereka mempunyai teknologi senjata yang termaju, yang tidak mampu dikejar negara-negara lain, tetapi negara itu masih perlu berkembang.
Katanya lagi, Rusia sentiasa terbuka untuk mengadakan kerjasama dengan rakan strategik atau negara yang tidak memberi ancaman kepada mana-mana pihak, tetapi Rusia akan terus mempertingkatkan lagi keupayaan pertahanannya.
#Amerika Syarikat #India #Iran #Iraq #Konflik Timur Tengah #Moscow #Pakistan #Rusia #Turki #Vladimir Putin