DUNIA

Putin harap persetujuan dengan Trump jadi pemangkin selesai konflik dengan Ukraine

Astro Awani 16/08/2025 | 00:20 MYT
Trump dan Putin berjabat tangan pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan untuk merundingkan penamatan perang di Ukraine, di Pangkalan Bersama Elmendorf-Richardson, Anchorage, Alaska, AS, 15 Ogos 2025. REUTERS
PRESIDEN Rusia Vladimir Putin berharap persetujuan yang dicapai pada sidang kemuncaknya dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dapat menjadi pemangkin untuk menyelesaikan konflik Ukraine dan memulihkan hubungan Rusia-AS.

Menurut Putin, perkembangan di Ukraine dilihat Rusia sebagai berkait rapat dengan ancaman asas terhadap keselamatan negara itu.

“Saya berharap persetujuan hari ini akan menjadi titik rujukan, bukan sahaja untuk menyelesaikan masalah Ukraine, tetapi juga memulakan pemulihan hubungan perniagaan yang pragmatik antara Rusia dan AS.

"Saya mempunyai alasan yang kukuh untuk percaya bahawa dengan bergerak di landasan ini, kita dapat menamatkan konflik di Ukraine secepat mungkin,” katanya pada sidang akhbar bersama selepas mesyuarat bersama Trump di Alaska pada Jumaat.

“Saya telah berkali-kali menyatakan bahawa bagi Rusia, peristiwa di Ukraine berkait rapat dengan ancaman asas terhadap keselamatan negara kami.

"Lebih daripada itu, kami sentiasa menganggap rakyat Ukraine sebagai saudara, walaupun kedengaran janggal dalam keadaan sekarang.

“Kami berkongsi akar sejarah yang sama dan segala yang berlaku adalah satu tragedi dan kesedihan besar bagi kami. Oleh itu, negara kami benar-benar berhasrat untuk menamatkan perkara ini,” tambahnya.

Putin turut menyatakan bahawa kedua-dua negara mempunyai potensi besar untuk membangunkan kerjasama perniagaan dan pelaburan dalam bidang tenaga, teknologi, penerokaan angkasa lepas, serta di kawasan Artik.



#Amerika Syarikat #Donald Trump #Rusia #Vladimir Putin