DUNIA
Putin keluarkan 46 arahan pembangunan ekonomi susulan SPIEF 2025

Dokumen itu turut memberi penekanan khusus terhadap dasar perdagangan luar negeri dan pembangunan mekanisme baharu untuk memastikan daya saing jangka panjang Rusia dalam pasaran global. - Foto SPIEF 2025
MOSCOW: Kremlin telah menerbitkan senarai 46 arahan yang dikeluarkan oleh Presiden Rusia, Vladimir Putin, selepas berakhirnya Forum Ekonomi Antarabangsa St. Petersburg (SPIEF) 2025, yang merangka agenda luas bagi transformasi ekonomi negara itu.
Arahan tersebut, yang diumumkan minggu ini, meletakkan tanggungjawab utama kepada Kerajaan Persekutuan Rusia untuk menyediakan satu pelan komprehensif mengenai perubahan struktur menjelang 1 Oktober 2025.
Pelan itu dijangka merangkumi beberapa keutamaan utama termasuk transformasi pasaran pekerjaan, perubahan corak penggunaan, penambahbaikan iklim pelaburan, pemacuan pembangunan teknologi, serta meningkatkan keberkesanan sektor pertahanan dan keselamatan.
Dokumen itu turut memberi penekanan khusus terhadap dasar perdagangan luar negeri dan pembangunan mekanisme baharu untuk memastikan daya saing jangka panjang Rusia dalam pasaran global.“Arahan ini menekankan pembangunan pelan menyeluruh bagi perubahan struktur, mempercepat pembangunan teknologi termasuk peralihan kepada rubel digital serta penyediaan laporan tahunan mengenai kedaulatan teknologi, sokongan kepada keusahawanan dan PKS, pembangunan industri kreatif, meningkatkan fleksibiliti pasaran buruh, pemeliharaan tapak warisan budaya, penganjuran forum antarabangsa Open Dialogue pada 2026, serta penyelarasan aktiviti institusi pembangunan,” kata Penasihat Presiden Persekutuan Rusia merangkap Setiausaha Eksekutif Jawatankuasa Penganjur SPIEF, Anton Kobyakov.
Arahan tersebut turut menekankan usaha Rusia memperkukuh kedaulatan teknologi, termasuk penerapan rubel digital dan kewajipan laporan tahunan mengenai kemajuan sektor berteknologi tinggi.
Perusahaan kecil dan sederhana (PKS), industri kreatif, serta pemuliharaan warisan budaya turut disenaraikan sebagai bidang tumpuan kerajaan.
Selain itu, Putin turut mengarahkan Yayasan Roscongress, penganjur SPIEF, untuk menganalisis dan merumuskan hasil forum tersebut.
Yayasan itu perlu mengemukakan dapatan mereka kepada kerajaan sebelum tarikh akhir 1 Oktober.
SPIEF 2025, yang dianggap sebagai acara perniagaan utama Rusia, menghimpunkan pegawai kerajaan, pemimpin perniagaan, dan delegasi antarabangsa awal tahun ini bagi membincangkan cabaran serta peluang ekonomi dalam landskap global yang sedang berubah.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami