DUNIA

Putin larang keputusan mahkamah asing, luaskan bidang kuasa mahkamah tentera

Bernama 29/12/2025 | 10:43 MYT
Undang-undang itu ditandatangani Putin sebagai sebahagian daripada pakej lebih daripada 12 akta perundangan. - Reuters
MOSCOW: Presiden Rusia Vladimir Putin pada Isnin menandatangani beberapa undang-undang, termasuk satu yang menolak penguatkuasaan keputusan mahkamah asing serta satu lagi yang meluaskan bidang kuasa mahkamah tentera terhadap anggota perkhidmatan bukan warganegara, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Undang-undang itu ditandatangani sebagai sebahagian daripada pakej lebih daripada 12 akta perundangan, kebanyakannya berkaitan hubungan antarabangsa dan konflik di Ukraine.

Kesemua undang-undang itu diterbitkan di portal rasmi kerajaan.

Pindaan kepada Undang-Undang Sistem Kehakiman Persekutuan Rusia melarang penguatkuasaan keputusan mahkamah jenayah asing dan keputusan badan kehakiman antarabangsa, kecuali jika ia berasaskan perjanjian Rusia atau resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengikat.

Pindaan berasingan memberikan mahkamah tentera kuasa untuk membicarakan anggota perkhidmatan tanpa kewarganegaraan serta warga asing atas jenayah yang dilakukan semasa perkhidmatan ketenteraan, latihan atau penyertaan dalam pasukan sukarela.

Perubahan itu susulan pelarasan dasar terkini yang membenarkan individu tanpa kewarganegaraan menyertai angkatan tentera Rusia.

Putin turut menandatangani undang-undang yang meluluskan perjanjian ekstradisi dengan Mozambique, serta perundangan yang mengesahkan perjanjian mengenai asas hubungan dengan Mali.

Dalam bidang ekonomi, presiden itu menandatangani undang-undang yang mengesahkan perjanjian perdagangan sementara antara Kesatuan Ekonomi Eurasia, negara anggotanya dan Mongolia.

Perjanjian itu memperuntukkan liberalisasi perdagangan bagi barangan tertentu, dengan jumlah dagangan tahunan dianggarkan sebanyak AS$2.3 bilion.

Selain itu, Putin turut menandatangani undang-undang yang menetapkan 19 April sebagai tarikh peringatan kebangsaan baharu iaitu Hari Peringatan Mangsa Genosid Rakyat Soviet.

-- BERNAMA

#Vladimir Putin #mahkamah #bidang kuasa #mahkamah tentera #perundangan #Rusia