Putin sifatkan kenyataan Rusia mungkin serang NATO sebagai "mengarut"

Bernama
Disember 17, 2023 11:44 MYT
Presiden Vladimir Putin pada Ahad menyifatkan kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden mengenai kemungkinan Rusia akan menyerang negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sebagai "mengarut". - Gambar fail/REUTERS
MOSCOW: Presiden Vladimir Putin pada Ahad menyifatkan kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden mengenai kemungkinan Rusia akan menyerang negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sebagai "mengarut".
"Itu kenyataan yang mengarut. Saya rasa Presiden Biden juga menyedari perkara itu. Ini hanyalah sekadar untuk mewajarkan kesilapannya mengenai hala tuju Rusia," kata Putin, lapor Sputnik.
Sebaliknya, Rusia berminat untuk meningkatkan hubungan dengan negara anggota NATO dan tidak mahu merosakkan hubungan itu.
Beliau berkata pada masa ini Rusia dan negara-negara berkenaan tidak mempunyai sebarang tuntutan wilayah terhadap satu sama lain.
"Rusia tidak mempunyai sebab - tiada kepentingan dari segi geopolitik, ekonomi, politik mahupun ketenteraan untuk melawan negara NATO," kata Putin.
-- BERNAMA
#Vladimir Putin #NATO #Rusia #Amerika Syarikat #Joe Biden