DUNIA

Puting beliung ragut 6 nyawa di selatan Brazil

Bernama 09/11/2025 | 01:25 MYT
Pemandangan udara bangunan yang musnah susulan puting beliung yang melanda Rio Bonito do Iguacu, Parana, Brazil, 8 Nov 2025. REUTERS.
SAO PAULO: Sekurang-kurangnya enam orang maut selepas puting beliung melanda negeri Parana di selatan Brazil pada malam Jumaat.

Dalam pada itu, kira-kira 750 orang cedera dan seorang dilaporkan masih hilang, menurut pihak berkuasa pada Sabtu, lapor Xinhua.

Beberapa rumah dan bangunan musnah di bandar Rio Bonito do Iguacu.

Media tempatan melaporkan kira-kira 80 peratus kawasan bandar itu yang didiami hampir 14,000 penduduk telah musnah.

Gabenor Parana, Carlos Massa Ratinho Junior mengisytiharkan bencana awam bagi mempercepatkan penyaluran dana kecemasan untuk kerja-kerja bantuan dan pemulihan, menurut kenyataan rasmi.

Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva dalam hantaran di platform X menyampaikan rasa simpati kepada mangsa dan mengumumkan penghantaran pasukan tindak balas bencana, anggota pembinaan semula serta perkhidmatan kesihatan kecemasan ke kawasan terjejas.

Puting beliung itu pada peringkat awal diklasifikasikan sebagai kategori F2 dengan kelajuan angin dianggarkan antara 180 hingga 250 kilometer sejam, menurut sistem pemantauan dan teknologi alam sekitar negeri Parana.

-- BERNAMA

#Brazil #puting beliung #Luiz Inacio Lula da Silva #rumah musnah