Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
DUNIA

Putin-Trump dijangka berbincang sekurang-kurangnya 6-7 jam - Kremlin

Bernama 15/08/2025 | 20:50 MYT
Trump dan Putin berjabat tangan di awal pertemuan mereka di Joint Base Elmendorf-Richardson, Alaska, 15 Ogos 2025. (Foto AP)
MOSCOW: Rundingan antara Presiden Rusia Vladimir Putin, dan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, di Alaska dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya enam hingga tujuh jam, kata jurucakap Kremlin Dmitry Peskov pada Jumaat.

"Secara umum, boleh dibayangkan bahawa, sudah tentu, sekurang-kurangnya enam hingga tujuh jam akan diperuntukkan untuk ini," lapor Sputnik News memetik kenyataan Peskov kepada penyiar Channel One.

Menurutnya, pertemuan itu akan dimulakan dengan perbualan kedua-dua pemimpin yang turut disertai pembantu, sebelum delegasi kedua-dua pihak menyertai rundingan tersebut.

Peskov berkata pihak Rusia menjangkakan mesyuarat itu berakhir dengan hasil yang produktif.

Sementara itu, Sputnik News turut melaporkan Rumah Putih pada Jumaat menyifatkan sidang kemuncak di Alaska itu sebagai "bersejarah".

"Presiden Donald J. Trump Berlepas dari Washington, D.C., ke Alaska untuk Sidang Kemuncak Bersejarah," menurut Rumah Putih di platform X.

Gabenor Alaska Mike Dunleavy, berkata negeri Artik itu sesuai menjadi lokasi pertemuan sedemikian, sambil menambah bahawa Alaska pernah menjadi wilayah Rusia suatu ketika dahulu.

"Kami fikir ini adalah tempat yang sangat sesuai, dan kami sebenarnya berbangga sebagai rakyat Alaska kerana dapat menjadi tuan rumah," katanya kepada Fox News.

Pertemuan antara Putin dan Trump dijangka berlangsung di Joint Base Elmendorf-Richardson di pinggir utara Anchorage, Alaska, pada Jumaat.

Ini merupakan pertemuan bersemuka pertama kedua-dua pemimpin sejak Trump dipilih semula dan sidang kemuncak terakhir mereka pada 2019. Menurut Rumah Putih, mesyuarat itu akan bermula pada 11 pagi waktu tempatan.

Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan cara menyelesaikan konflik Ukraine serta isu lain yang menjadi kepentingan bersama.

-- BERNAMA

#Donald Trump #Vladimir Putin #Ukraine #Rusia