DOHA: Qatar Airways mengumumkan penggantungan sementara penerbangan pergi dan balik ke Riyadh dan Dammam di Arab Saudi pada Isnin susulan serangan terhadap lapangan terbang di negara itu, lapor Xinhua.
"Berikutan situasi semasa, penerbangan pergi dan balik ke Riyadh dan Dammam digantung sementara," menurut syarikat penerbangan itu dalam notis perjalanan terkini, sambil menasihatkan penumpang supaya menyemak status penerbangan menerusi laman sesawang rasmi atau aplikasi mudah alihnya.
Qatar Airways memaklumkan bahawa perkembangan lanjut akan diumumkan menerusi laman sesawang, tanpa menyatakan bila perkhidmatan penerbangan ke kedua-dua bandar itu akan disambung semula.
Langkah itu dibuat susulan serangan kumpulan Houthi terhadap Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid di Riyadh dan Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Fahd berhampiran Dammam.
Menurut Pihak Berkuasa Am Penerbangan Awam Arab Saudi, serangan Houthi terhadap lapangan terbang di Riyadh pada Sabtu mengorbankan 12 nyawa dan mencederakan 309 yang lain.
Pihak berkuasa penerbangan itu turut memaklumkan pada Isnin bahawa penggantungan operasi di lapangan terbang Riyadh dilanjutkan.
-- BERNAMA-XINHUA