ISTANBUL: Qatar pada Isnin menggesa penyelarasan lebih erat dalam kalangan negara Teluk bagi melaksanakan memorandum persefahaman antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran menerusi perbualan telefon berasingan antara Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani dengan rakan sejawatannya dari Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi, Kuwait, Oman dan Bahrain, lapor Anadolu Ajansi.
Perbincangan itu tertumpu kepada perkembangan serantau, khususnya usaha diplomatik dan penyelarasan bersama bagi meredakan ketegangan serta memperkukuh keselamatan dan kestabilan di rantau itu, di samping kerjasama dua hala, menurut kenyataan Kementerian Luar Qatar.
Al Thani menegaskan keperluan agar semua pihak terus komited terhadap dialog dan diplomasi serta melaksanakan peruntukan dalam memorandum persefahaman AS-Iran, termasuk memastikan kebebasan pelayaran melalui Selat Hormuz bagi memelihara keselamatan serantau, melindungi kemajuan yang dicapai baru-baru ini dan memperkukuh kestabilan rantau berkenaan.
Beliau turut menegaskan semula sokongan penuh Qatar terhadap usaha meredakan ketegangan dan mencapai perjanjian menyeluruh yang mampu mewujudkan keamanan berkekalan di seluruh rantau itu.
Ketegangan di Asia Barat meningkat sejak AS dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada Februari, sekali gus mencetuskan serangan balas Tehran yang menyasarkan beberapa negara di rantau itu.
-- BERNAMA-ANADOLU
TAG: Qatar, negara teluk, Amerika Syarikat, Iran