Skip to main content
Advertisement

Dunia

Qatar salur 1.3 juta liter bahan api kepada sektor kesihatan Gaza

X @MofaQatar_EN
Geran tersebut akan membantu mengekalkan operasi di hospital dan pusat perubatan utama, sekali gus memberi manfaat kepada kira-kira 2.1 juta rakyat Palestin. - Foto X/Ministry of Foreign Affairs - Qatar
Advertisement

DOHA: Qatar menandatangani perjanjian dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyalurkan kira-kira 1.3 juta liter bahan api bagi memenuhi keperluan kemanusiaan di Gaza, menurut pengumuman Kementerian Luar Qatar.

Bantuan itu diberikan ketika Gaza berdepan krisis kekurangan bahan api yang berterusan, terutama dalam sektor kesihatan yang bergelut mengekalkan operasi perubatan dan perkhidmatan penting.

Kekurangan bekalan bahan api turut menjejaskan sistem pengangkutan, apabila pemandu bas di Gaza melancarkan mogok baru-baru ini, sekali gus menyebabkan ramai petugas kesihatan gagal hadir ke tempat kerja.

Keadaan itu memberi kesan besar kepada Hospital al-Shifa di Bandar Gaza, antara kemudahan perubatan terbesar di wilayah berkenaan.

Penyelaras perubatan Medical Aid for Palestinians di Hospital al-Shifa, Hasan al-Balaawi, berkata kekurangan kakitangan memaksa hospital itu mengehadkan perkhidmatannya kepada pembedahan kecemasan dan rawatan unit rawatan rapi (ICU) sahaja.

Beliau menjelaskan bahawa operasi harian hospital semakin tertekan berikutan kekurangan tenaga kerja dan sumber asas yang diperlukan untuk merawat pesakit.

Perjanjian antara Qatar dan PBB itu dijangka membantu memastikan kesinambungan operasi hospital, ambulans serta kemudahan kesihatan lain yang bergantung kepada bahan api untuk menjana elektrik dan menjalankan perkhidmatan kritikal.

Qatar sebelum ini memainkan peranan penting dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza, termasuk sokongan kewangan, bekalan perubatan dan bantuan pemulihan infrastruktur.

 

 

Must Watch Video

Advertisement