[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
DUNIA

Qatar sediakan tindak balas serantau terhadap serangan Israel ke atas Doha - PM

Bernama 11/09/2025 | 08:17 MYT
Al Thani mengesahkan bahawa Doha akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Arab-Islam dalam masa terdekat bagi memutuskan langkah terhadap serangan Israel itu. - Foto Reuters
ISTANBUL: Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani pada Rabu berkata satu respons kolektif serantau sedang disediakan bagi menghadapi serangan Israel ke atas Doha, sambil menekankan bahawa rundingan sedang dijalankan dengan rakan-rakan kongsi Arab dan Islam, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik CNN.


Ringkasan AI
  • PM Qatar kecam serangan Israel ke atas Doha, menyifatkannya sebagai 'keganasan negara' dan mengumumkan respons kolektif serantau sedang dirangka bersama negara Arab dan Islam.
  • Doha akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Arab-Islam untuk memutuskan langkah balas, termasuk menilai semula peranan Qatar dalam rundingan gencatan senjata Gaza.
  • Al Thani tuduh Netanyahu musnahkan harapan gencatan senjata dan membawa Timur Tengah ke arah huru-hara; serangan udara Israel ke atas Doha dikecam sebagai pelanggaran kedaulatan dan undang-undang antarabangsa.


"Akan ada tindak balas dari rantau ini. Tindak balas ini kini sedang dibincangkan bersama rakan serantau lain," kata Al Thani kepada CNN.

"Kami berharap sesuatu yang bermakna dapat menghalang Israel daripada meneruskan tindakan membuli ini," katanya.

Al Thani mengesahkan bahawa Doha akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Arab-Islam dalam masa terdekat bagi memutuskan langkah terhadap serangan Israel itu, yang menyasarkan pemimpin kanan kumpulan Palestin Hamas ketika bermesyuarat membincangkan cadangan gencatan senjata AS.

Beliau menyuarakan kemarahan terhadap serangan itu, dengan berkata: "Saya tiada kata-kata untuk menggambarkan betapa marahnya kami terhadap tindakan ini. Ini adalah keganasan negara. Kami dikhianati."

Beliau juga menuduh Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu memusnahkan harapan bagi tawanan di Semenanjung Gaza yang ditahan oleh Hamas dan menghalang usaha gencatan senjata.

"Saya sedang bertemu dengan satu daripada keluarga tawanan pada pagi serangan itu berlaku," kata Al-Thani. "Mereka menaruh harapan pada usaha pengantaraan (gencatan senjata) ini. Mereka tiada harapan lain."

"Saya telah memikirkan semula keseluruhan proses ini sejak beberapa minggu kebelakangan ini bahawa Netanyahu hanya membuang masa kita. Netanyahu baru sahaja membunuh sebarang harapan untuk tawanan itu... Beliau perlu dihadapkan ke muka pengadilan... Beliau melanggar setiap undang-undang - termasuk semua undang-undang antarabangsa," katanya.

Pemimpin Qatar itu menambah bahawa negaranya sedang menilai semula peranannya dalam mana-mana rundingan gencatan senjata Gaza pada masa hadapan berikutan serangan ke atas ibu negaranya.

Al Thani tidak mendedahkan nasib pemimpin dan ketua perunding Hamas, Khalil al-Hayya, dengan berkata: "Sehingga kini... tiada sebarang pengumuman rasmi."

Kumpulan Palestin itu pada awalnya berkata lima anggotanya terbunuh dalam serangan itu tetapi Israel gagal membunuh delegasi perunding itu.

"Kami sedang berusaha mengenal pasti jika ada lagi individu yang hilang... ada warga Qatar yang berada dalam situasi yang sangat berbahaya," tambahnya.

Beliau seterusnya menekankan bahawa Netanyahu sedang membawa Asia Barat ke arah huru-hara, sambil menegaskan bahawa keseluruhan rantau Teluk kini berisiko.

Serangan udara Israel ke atas Doha telah mengundang gelombang kecaman sebagai satu pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatan Qatar dan undang-undang antarabangsa.

Israel telah membunuh lebih 64,600 rakyat Palestin dalam serangan kejam di Gaza sejak Oktober 2023. Kempen ketenteraan itu telah memusnahkan wilayah berkenaan dan menyebabkan penduduk wilayah itu ke dalam kebuluran.

November lepas, Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap untuk Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya Yoav Gallant atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel juga berdepan perbicaraan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung serangannya ke atas wilayah itu.

-- BERNAMA




#serangan Israel di Qatar #satu respons kolektif serantau #tindak balas #Perdana Menteri Qatar