DUNIA
Qatar usaha sambung semula rundingan gencatan senjata Gaza, capai perjanjian program nuklear Iran

Majid al-Ansari turut memaklumkan Doha sedang berusaha untuk mencapai perjanjian lebih menyeluruh mengenai program nuklear Iran. - Foto X/@GulfTimes_QATAR
ISTANBUL: Qatar memaklumkan pada Isnin ia sedang berusaha untuk menyambung semula rundingan antara Israel dan Hamas bagi mencapai gencatan senjata di Gaza, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majid al-Ansari turut memaklumkan Doha sedang berusaha untuk mencapai perjanjian lebih menyeluruh mengenai program nuklear Iran.
"Tiada rundingan mengenai gencatan senjata di Semenanjung Gaza ketika ini," kata Ansari pada sidang media di Doha.
"Bagaimanapun, komunikasi sedang dijalankan bagi merumuskan formula untuk kembali ke meja rundingan," katanya tanpa mengulas lanjut."Kami melihat isyarat positif dari Washington untuk mencapai perjanjian di Gaza, dan terdapat niat serius mereka untuk mendorong ke arah menyambung semula rundingan mengenai Gaza, tetapi masih terdapat komplikasi," katanya.
Pada Ahad, Menteri Luar Mesir Badr Abdelatty memaklumkan bahawa Kaherah sedang merangka perjanjian baharu Gaza yang merangkumi gencatan senjata selama 60 hari sebagai pertukaran untuk pembebasan beberapa tawanan Israel serta kemasukan segera bantuan kemanusiaan ke wilayah yang dikepung itu.
Qatar "terus mendesak melalui rakan-rakan kami untuk memisahkan rundingan daripada isu kemasukan bantuan ke Gaza," kata Ansari.
"Kedegilan Israel menghalang kemasukan bantuan ke Gaza. Ia tidak boleh diterima untuk terus mengaitkan isu kemanusiaan dengan ketenteraan di Gaza."
Pada 19 Jan, Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat telah menjadi broker bagi perjanjian gencatan senjata tiga fasa antara Israel dan Hamas, dengan matlamat untuk menamatkan perang genosid Israel di Gaza.
Bagaimanapun, perjanjian itu terjejas selepas Israel menyambung semula serangan ke atas wilayah berkenaan pada 18 Mac.
Walaupun terdapat gesaan antarabangsa untuk gencatan senjata, tentera Israel telah membunuh lebih 56,500 rakyat Palestin dalam serangan berterusan di Semenanjung Gaza sejak Oktober 2023.
Pada November lepas, Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung perang ke atas wilayah itu.
Jurucakap Qatar itu berkata Doha sedang giat berusaha untuk mencapai perjanjian lebih menyeluruh mengenai program nuklear Iran.
"Usaha untuk mencapai perjanjian lebih luas mengenai program nuklear Iran masih diteruskan," kata Ansari tanpa memberikan butiran lanjut.
Konflik antara Israel dan Iran tercetus pada 13 Jun apabila Israel melancarkan serangan udara ke atas tapak ketenteraan, nuklear dan awam Iran, mengakibatkan sekurang-kurangnya 935 orang terbunuh dan 5,332 lagi cedera menurut pihak berkuasa Iran.
Amerika Syarikat turut mengebom kemudahan nuklear Iran di Fordow, Natanz dan Isfahan, sekali gus meningkatkan ketegangan konflik itu.
Konflik itu terhenti selepas gencatan senjata tajaan AS berkuat kuasa pada 24 Jun.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami