DUNIA

Rahaman Ali, adik legenda tinju Muhammad Ali, meninggal dunia pada usia 82 tahun

Astro Awani 03/08/2025 | 04:25 MYT
Bekas petinju profesional yang juga adik kepada legenda Muhammad Ali, Rahaman Ali (foto), meninggal dunia pada usia 82 tahun, Jumaat lalu. -Facebook
LOUISVILLE: Rahaman Ali, adik kepada legenda tinju dunia Muhammad Ali dan bekas peninju profesional, dilapor meninggal dunia Jumaat, 1 Ogos, pada usia 82 tahun, menurut kenyataan rasmi daripada Muhammad Ali Center.


Ringkasan AI
  • Rahaman Ali, adik Muhammad Ali dan bekas petinju profesional, meninggal dunia pada usia 82 tahun.
  • Beliau dikenali sebagai penyokong setia abangnya dan menulis dua buku tentang kehidupan mereka bersama.
  • Punca kematian belum didedahkan; keluarga akan umumkan urusan pengebumian kemudian.


Dilahirkan sebagai Rudolph Arnett Clay pada 18 Julai 1943, Rahaman mengikuti jejak langkah abangnya dalam dunia tinju dan bertanding secara profesional dari tahun 1964 hingga 1972, dengan rekod 14 kemenangan daripada 18 pertarungan.


“Tidak mungkin kita dapat menceritakan kisah Muhammad tanpa menyebut nama Rahaman.

“Beliau merupakan penyokong paling setia sepanjang kerjaya Muhammad dan hubungan mereka mencerminkan erti sebenar ‘penjaga saudara’,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Muhammad Ali Center, DeVone Holt.


Selepas bersara daripada arena tinju, Rahaman terus bersama abangnya membantu dalam latihan dan menyertai pelbagai acara berkaitan Muhammad Ali.

Beliau juga menulis dua buah buku mengenai kehidupan mereka bersama: "That’s Muhammad Ali’s Brother! My Life on the Undercard" (2014) dan "My Brother, Muhammad Ali – The Definitive Biography" (2019).

Anak perempuan Muhammad Ali, Hana Ali, turut berkongsi penghormatan kepada mendiang bapa saudaranya di media sosial, menyifatkan beliau sebagai “jiwa yang lembut dan penyayang, menyinar sama seperti ayahnya.”

Setakat ini, punca kematian belum didedahkan dan urusan pengebumian akan diumumkan kemudian oleh pihak keluarga.

Muhammad Ali, yang dikenali sebagai “The Greatest”, meninggal dunia pada tahun 2016 pada usia 74 tahun selepas bertarung dengan penyakit Parkinson selama lebih tiga dekad.








#Muhammad Ali #Rahaman Ali #bekas petinju profesional #meninggal dunia