BAITULMAQDIS: Tidak berbumbung sebaliknya hanya sisa runtuhan rumah.

Begitu gambaran suasana bagi dua pasangan pengantin baharu yang terpaksa meraikan hari bahagia mereka di rumah yang kini musnah diroboh oleh penguatkuasa Israel.

Bagi mereka, meskipun begitu, mereka tidak patah semangat, malah meraikan hari penting itu dari sudut positif.

Pasangan pengantin yang juga penduduk Palestin, Rabiha al-Rajby dan Mohyeldin Nasrallah memberitahu, rumah mereka dirobohkan pada bulan lalu.

Ini kerana ia dibina tanpa kebenaran permit dari kerajaan Israel.

Katanya, tindakan itu telah menyebabkan 35 penduduk yang lain berpindah.

Jelas mereka lagi, peluang untuk mendapatkan permit mendirikan rumah dari Israel adalah tipis dan ini sekali gus memaksa ramai penduduk membina rumah tanpa kebenaran itu.

Selain dari ancaman kemusnahan rumah, penduduk Palestin di Baitulmaqdis turut berdepan ancaman untuk mengosongkan rumah bagi memberi laluan buat rakyat rejim Israel.