Raja Jordan Raja Abdullah tiba di Ramallah Tebing Barat, semalam untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden Palestin Mahmoud Abbas, antara lain bagi membincangkan krisis Masjid Al-Aqsa, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Selain itu, kedua-dua pemimpin turut berbincang perkembangan terbaharu di rantau berkenaan.

Jordan penjaga mutlak masjid berkenaan melalui lembaga Wakaf, pada minggu lepas mengumumkan menyumbang US$1 juta untuk Muzium Islam, sejumlah US$423 kepada petugas Wakaf dan memberikan bayaran istimewa kepada pengawal tertentu.

Tindakan Israel melaksanakan langkah keselamatan baharu termasuk memasang alat pengesan logam di Masjid Al-Aqsa menimbulkan kemarahan serta menyebabkan berlakunya pertempuran yang berlarutan selama dua minggu.

Penduduk Palestin termasuk petugas Wakaf membantah dan enggan memasuki masjid selagi alat itu tidak ditanggalkan, rejim Isarel akhirnya akur dengan desakan.

Terdahulu ketika berucap di Parlimen Jordan pada Ahad, Raja Abdullah menegaskan perjanjian damai antara rakyat Palestin dan Israel memerlukan komitmen Amerika Syarikat.

"Tanpa hak penjagaan dan kekuatan penduduk Baitulmaqdis, Palestin sudah lama kehilangan tapak suci itu," katanya memetik agensi berita rasmi Petra.

Jordan bertanggungjawab ke atas Masjid Al-Aqsa sejak 1967, selepas Perang Enam Hari yang menyaksikan penaklukan Baitulmaqdis, Tebing Barat dan Bukit Golan oleh Israel.

-- BERNAMA