INTERNATIONAL
Raja Charles kini pada "fasa yang lebih baik" dalam usaha melawan kanser
Charles kembali menjalankan tugas rasmi dengan jadual yang lebih padat, walaupun mengalami kesan sampingan rawatan. - Foto Reuters
LONDON: Raja Charles III dari United Kingdom secara terbuka berkongsi mengenai rawatan kanser dan percaya yang baginda kini berada pada "fasa yang lebih baik" dalam usaha melawan penyakit itu, lapor PA Media/dpa.
Ringkasan AI
- Kemajuan Rawatan Kanser: Raja Charles III berkongsi bahawa baginda berada dalam "fasa yang lebih baik" dalam rawatan kansernya, setelah menerima rawatan berterusan selama kira-kira 15 bulan.
- Peningkatan Beban Kerja: Baginda kembali menjalankan tugas rasmi dengan jadual yang lebih padat, walaupun mengalami kesan sampingan rawatan dan perlu menjalani pemerhatian singkat di hospital pada Mac.
- Lawatan Antarabangsa: Raja Charles dijadualkan berlepas ke Kanada pada akhir Mei dan akan menjadi tuan rumah kepada lawatan negara oleh Presiden Perancis Emmanuel Macron selepas musim panas.
Kenyataan itu dibuat oleh Raja Charles kepada seorang bekas pesakit kanser yang ditemuinya semasa lawatan bersama Permaisuri Camilla ke Bradford pada Khamis bagi meraikan status bandar raya itu sebagai Bandar Raya Budaya UK.
Baginda menerima rawatan berterusan sejak kira-kira 15 bulan lalu selepas disahkan menghidap sejenis kanser yang tidak didedahkan pada awal 2024.
Raja Charles meningkatkan beban kerjanya pada awal tahun ini berikutan kemajuan positif dalam rawatannya dan perkara itu diteruskan walaupun baginda mengalami "gangguan kecil" apabila terpaksa menjalani rawatan singkat di hospital akibat kesan sampingan rawatan kanser pada Mac.
Baginda dijadualkan berlepas ke Kanada pada akhir Mei untuk pembukaan parlimen negara Komanwel itu dan selepas tempoh musim panas yang sibuk, akan menjadi tuan rumah kepada lawatan negara oleh Presiden Perancis Emmanuel Macron, walaupun ketika itu biasanya jadual diraja mula berkurangan.
-- BERNAMA