Rakyat Iran peringati ulang tahun pengambilalihan Kedutaan AS di tengah-tengah ketegangan memuncak

Penunjuk perasaan berjalan sambil memijak bendera AS dan Israel semasa perhimpunan tahunan di hadapan bekas Kedutaan AS di Tehran, meraikan ulang tahun pengambilalihan kedutaan pada 1979, Iran, 4 Nov 2025. (Foto AP)
TEHRAN: Beribu-ribu rakyat Iran berhimpun di seluruh negara pada Selasa bagi memperingati ulang tahun pengambilalihan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) pada 1979, di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak dengan AS dan Israel, lapor Xinhua.
Orang ramai berkumpul di beberapa bandar termasuk ibu kota Tehran, di mana para penunjuk perasaan berarak dari Dataran Palestin menuju ke bekas bangunan kedutaan AS sambil mengibarkan bendera Iran dan melaungkan slogan menentang AS dan Israel.
Ramai antara mereka turut membawa potret rakyat Iran yang terkorban dalam konflik 12 hari dengan Israel pada Jun lepas.
Speaker Parlimen Iran Mohammad Baqer Qalibaf berkata ulang tahun itu melambangkan hari rakyat Iran "bersatu dan lantang menolak penindasan," menurut agensi berita rasmi IRNA.
Beliau menegaskan bahawa Iran akan terus menentang tekanan daripada AS dan tidak akan sekali-kali menggadaikan kemerdekaan negara itu.

Foto REUTERS
Acara tahunan itu memperingati peristiwa 4 Nov 1979 apabila pelajar Iran menyerbu kedutaan AS di Tehran dan menahan puluhan tebusan dalam insiden yang berlarutan lebih setahun.
Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, pada Isnin berkata insiden itu mendedahkan "identiti sebenar" Washington, sambil mendakwa dokumen yang diperoleh dari kedutaan berkenaan menunjukkan ia "menjadi pusat perancangan" terhadap Revolusi Islam Iran.
--BERNAMA-XINHUA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

