DUNIA

Rakyat Iraq mengundi Selasa, pilih Ahli Parlimen baharu

Bernama 10/11/2025 | 20:15 MYT
Menurut suruhanjaya pilihan raya, seramai 7,743 calon bertanding bagi merebut kerusi parlimen, termasuk 2,247 calon wanita. - Foto fail/AP
BAGHDAD: Berjuta-juta rakyat Iraq akan keluar mengundi pada Selasa bagi memilih ahli parlimen baharu dalam pilihan raya yang bakal menentukan landskap politik negara itu untuk tempoh empat tahun akan datang, lapor Anadolu Ajansi.

Menurut suruhanjaya pilihan raya, seramai 7,743 calon bertanding bagi merebut kerusi parlimen, termasuk 2,247 calon wanita.

Di bawah undang-undang pilihan raya Iraq, sekurang-kurangnya 25 peratus atau 83 kerusi parlimen diperuntukkan untuk wanita, selain sembilan kerusi khusus bagi kumpulan rakyat atau agama minoriti di peringkat wilayah dan kebangsaan.

Kira-kira 21 juta pengundi layak mengundi dalam pilihan raya Selasa ini bagi memilih 329 Ahli Dewan Perwakilan, yang seterusnya akan memilih presiden serta memberi kepercayaan kepada kerajaan baharu.

Ibu negara Baghdad mencatat jumlah pengundi berdaftar tertinggi dengan 2,373,963 pengundi layak, menurut suruhanjaya pilihan raya.

Proses pengundian akan bermula dari pukul 7 pagi waktu tempatan (0400GMT) Selasa dan berakhir pada pukul 6 petang (1500GMT) tanpa sebarang lanjutan masa.

Keputusan pilihan raya parlimen dijangka diumumkan dalam tempoh 24 jam selepas pengundian, dan akan disahkan secara rasmi selepas semua rayuan disemak.

-- BERNAMA





#pilihan raya #Iraq #ahli parlimen iraq #undi #politik iraq