[TERKINI] Polis Kenal Pasti Peserta Program Motivasi Rumah Tangga eHati – Amaran Tangkapan Jika Enggan Bekerjasama – Ikuti Perkembangan Di Sini
INTERNATIONAL

Rakyat Israel berhimpun sempena 600 hari penahanan tebusan

Astro Awani 28/05/2025 | 22:20 MYT
Para peserta melaungkan slogan, mengibarkan bendera serta membawa sepanduk dan poster bergambar tebusan yang masih ditahan di Gaza. - Foto REUTERS
TEL AVIV: Ratusan penduduk Israel berhimpun di Dataran Tebusan, Tel Aviv pada Rabu bagi memperingati hari ke 600 sejak tercetusnya konflik dan penahanan tebusan di Gaza.

Di perhimpunan itu, para peserta melaungkan slogan, mengibarkan bendera serta membawa sepanduk dan poster bergambar tebusan yang masih ditahan di Gaza.

Bagi meredakan keadaan, pihak polis Israel terpaksa bertindak selepas sekumpulan penunjuk perasaan menceroboh masuk ke ibu pejabat parti Likud di Tel Aviv.

Penduduk Israel, Sijal Merhavi berkata, hatinya hancur melihat situasi ketika ini melihat Israel tidak membawa pulang semua tahanan.

"Hati saya hancur. Saya rasa sedih kerana negara saya tidak dapat membawa pulang semua tebusan. Dan saya sangat kecewa. Juga dengan dunia yang hampir tidak berbuat apa-apa.

"Anda tahu, ada orang yang ditawan dan tiada siapa yang benar-benar peduli. Mereka kata Gaza sedang kebuluran dan tebusan kami juga sedang kebuluran. Tetapi tiada siapa yang bercakap tentang mereka," katanya.

Pada 18 Mac lalu, Israel secara rasmi menamatkan perjanjian gencatan senjata yang dimeterai pada Januari dengan Hamas dan melancarkan semula kempen ketenteraan di Gaza.

Hamas menyatakan kesediaan untuk membebaskan semua baki tebusan serta bersetuju dengan gencatan senjata kekal sekiranya Israel berundur sepenuhnya dari Gaza.

Namun, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menegaskan bahawa Israel hanya akan bersetuju dengan gencatan senjata sementara sebagai pertukaran untuk pembebasan tebusan dan menegaskan konflik hanya akan berakhir apabila Hamas dihapuskan sepenuhnya.



#Benjamin Netanyahu #gencatan senjata #Hamas #Tahanan