BANGKOK: Kedutaan Besar Malaysia di Thailand menganjurkan majlis makan tengah hari bersama kakitangannya dan tetamu jemputan bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri.

Majlis makan tengah hari itu memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk bertemu antara satu sama lain dan meraikan bersama rakan-rakan dan ahli keluarga sambil menikmati juadah Malaysia.

Ia memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk menikmati hidangan tradisional Raya istimewa, bersosial dengan rakyat Malaysia dan mengukuhkan ikatan silaturahim.

Antara makanan yang dihidangkan termasuk nasi tomato tradisional, lemang dan rendang, ayam masak merah, kek lapis Sarawak, sambal sotong kembang, kari kambing dan kuih raya.

Semua hadirin berpakaian tradisional baju Melayu dengan samping dan songkok manakala wanita memakai baju kurung tradisional mereka.

Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel dan isteri, Datin Catherina Cherian Samuel yang menghadiri perhimpunan itu turut mengedarkan 'duit raya' kepada kanak-kanak yang menyertai sambutan berkenaan.

Jojie berkata, ia merupakan acara tahunan bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara rakyat Malaysia di Bangkok yang menyambut Hari Raya Aidilfitri mereka di sini.

"Ini adalah makan tengah hari potluck, iaitu setiap daripada kita, perlu menyumbang hidangan rakyat Malaysia dan merupakan acara yang sangat menarik untuk mencerminkan negara Malaysia yang berbilang agama dan budaya," katanya kepada Bernama, pada Rabu.

Beliau berkata, Hari Raya Aidilfitri merupakan masa untuk memupuk perpaduan, keharmonian dan persefahaman dalam kalangan umat Islam. - BERNAMA