Skip to main content

Dunia

Rakyat Malaysia di Singapura jadi jambatan perkukuh hubungan dua hala - Pesuruhjaya Tinggi

SINGAPURA, Aug 31 (Bernama) -- Malaysians in Singapore serve as "unofficial ambassadors" in strengthening bilateral ties and as an important bridge connecting the two neighbouring countries, said Malaysian High Commissioner to Singapore Datin Paduka Anizan Siti Hajjar Adnin.
Anizan menasihati generasi muda Malaysia yang berada di Singapura supaya terus menghargai budaya serta memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang menyatukan seluruh masyarakat. - Gambar Bernama
Advertisement

SINGAPURA: Rakyat Malaysia di Singapura berperanan sebagai 'duta tidak rasmi' negara dalam memperkukuh hubungan dua hala dan menjadi ‘jambatan’ penting yang menghubungkan kedua-dua negara jiran itu, kata Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datin Paduka Anizan Siti Hajjar Adnin.

Berucap pada majlis perbarisan Hari Kebangsaan 2026 peringkat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura, beliau berkata golongan itu, termasuk ribuan rakyat Malaysia yang melintasi sempadan setiap hari untuk pelbagai tujuan di Singapura, mempunyai peranan yang amat istimewa.

"Singapura bukan sekadar negara jiran, malah hubungan Malaysia-Singapura berakar umbi dalam sejarah, geografi, ekonomi, budaya dan hubungan kekeluargaan.

"Sebagai rakyat Malaysia yang berada di Singapura, kita semua mempunyai kedudukan dan peranan yang amat istimewa," katanya pada Isnin.

Menurut Anizan, setiap rakyat Malaysia yang berada di Singapura diseru supaya terus menunjukkan nilai terbaik melalui sifat berintegriti, profesionalisme, kesopanan, saling menghormati dan semangat membantu antara satu sama lain.

"Marilah kita membuktikan bahawa walau di mana pun kita berada, rakyat Malaysia sentiasa mampu memberikan sumbangan yang positif kepada masyarakat dan negara tempat kita berada," katanya.

Beliau turut menasihati generasi muda Malaysia yang berada di Singapura supaya terus menghargai budaya serta memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang menyatukan seluruh masyarakat.

"Malaysia yang kita mahu bina adalah Malaysia yang yakin dengan identitinya, terbuka kepada dunia tetapi tetap teguh berpijak pada nilai dan akar budayanya," kata beliau.

Lebih daripada 70 kakitangan dan ahli keluarga Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura menyertai perbarisan Hari Kebangsaan 2026 yang berlangsung di Rumah Malaysia, di sini.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement