Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
DUNIA

Rakyat Malaysia dikaitkan dengan sindiket penipuan berpusat di Kemboja didakwa di Singapura

Bernama 18/11/2025 | 11:02 MYT
Seorang lelaki warga Malaysia yang didakwa membantu mengendalikan sindiket penipuan yang berpusat di Kemboja dan menyasarkan mangsa di Singapura telah didakwa di mahkamah republik itu pada Selasa. - Foto hiasan
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Malaysia yang didakwa membantu mengendalikan sindiket penipuan yang berpusat di Kemboja dan menyasarkan mangsa di Singapura telah didakwa di mahkamah republik itu pada Selasa.

Bernard Goh Yie Shen, 24, adalah antara 34 suspek - terdiri daripada 27 warga Singapura dan tujuh warga Malaysia - yang dinamakan oleh polis Singapura bulan lepas sebagai anggota kumpulan jenayah terancang yang beroperasi dari sebuah kawasan operasi sindiket penipuan di Phnom Penh, Kemboja.

Menurut laporan media tempatan, Goh, yang diserahkan kepada polis Singapura oleh rakan sejawat mereka di Malaysia sehari sebelumnya, didakwa menyelia operasi sebuah pusat panggilan yang menyasarkan dan memperdaya mangsa di Singapura.

Beliau berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda sehingga S$100,000, atau kedua-duanya sekali.

Goh sebelum ini ditahan di Phnom Penh oleh polis Kemboja sebelum dihantar pulang ke Malaysia, lapor The Straits Times (ST).

Pada Isnin, dua suspek warga Singapura turut didakwa di mahkamah. Baki 31 suspek lain masih bebas, menurut laporan ST.

Sindiket itu dipercayai bertanggungjawab terhadap sekurang-kurangnya 438 kes melibatkan kerugian sekurang-kurangnya S$41 juta, menurut polis pada 29 Okt.

-- BERNAMA


#rakyat Malaysia #sindiket penipuan berpusat #Kemboja #Singapura