DUNIA

Rakyat Palestin tiba di Scotland untuk mendapatkan rawatan perubatan

Bernama 20/09/2025 | 23:20 MYT
Penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal, melarikan diri dari utara Gaza akibat operasi ketenteraan Israel, bergerak ke arah selatan selepas tentera Israel mengarahkan penduduk Gaza City berpindah ke selatan. - Gambar Reuters
ISTANBUL: Menteri Pertama Scotland, John Swinney pada Sabtu menyambut mesra ketibaan rakyat Palestin dari Gaza ke negara itu untuk mendapatkan rawatan perubatan, sambil menyatakan solidariti terhadap Gaza dan mengulangi sokongan Scotland terhadap penyelesaian dua negara, lapor Anadolu Ajansi memetik lapor akhbar tempatan.

Dalam sepucuk surat terbuka yang ditujukan kepada "kanak-kanak, keluarga dan pelajar dari Gaza yang tiba di Scotland," Swinney berkata, beliau "terkejut dan sedih dengan situasi yang berlaku di Gaza sejak dua tahun lepas."

"Tiada siapa sepatutnya perlu menanggung trauma mendalam dan penderitaan yang anda dan orang tersayang alami," katanya.

Beliau menegaskan yang Kerajaan Scotland akan terus mendesak "gencatan senjata dan peningkatan bantuan kemanusiaan untuk Gaza serta menamatkan pendudukan haram Israel ke atas Palestin," lapor akhbar The National.

"Pandangan kami ialah hanya penyelesaian dua negara dapat membawa keamanan berkekalan yang selayaknya dinikmati oleh rakyat Palestin," katanya.

Swinney turut menekankan sejarah membanggakan Scotland dalam menyambut kedatangan orang dari seluruh dunia dan memberi jaminan yang perkhidmatan sokongan tersedia untuk membantu rakyat Palestin menyesuaikan diri dan menetap dalam komuniti tempatan.

"Scotland adalah negara yang percaya kepada keadilan dan kesaksamaan, dan anda akan melihat banyak tanda sokongan terhadap Palestin di seluruh Scotland," katanya, sambil menegaskan yang negara itu berdiri "dalam solidariti" bersama mereka.

Surat itu menyusuli ketibaan kumpulan pertama kanak-kanak Palestin ke Scotland untuk menerima rawatan di bawah Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan Britain (NHS), sebagai sebahagian usaha kemanusiaan berikutan krisis yang sedang berlanjutan di Gaza.

-- BERNAMA





#rakyat Palestin #Scotland #solidariti Gaza #rawatan perubatan