INTERNATIONAL

Rakyat Portugal mengundi untuk kali ketiga dalam tempoh kurang empat tahun untuk pilih kerajaan

Bernama 18/05/2025 | 21:30 MYT
Pilihan raya awal Portugal diadakan susulan kejatuhan kerajaan minoriti AD pimpinan Montenegro yang berhaluan tengah-kanan selepas tewas dalam undi percaya pada 11 Mac. (Foto AP)
ATHENS: Pengundian bagi pilihan raya awal Portugal bermula pada Ahad, yang merupakan pilihan raya ketiga dalam tempoh kurang daripada empat tahun bagi memilih kerajaan baharu.

Pengundi akan memilih 230 kerusi yang diagihkan dalam 22 kawasan pilihan raya berdasarkan kaedah d'Hondt, yang memperuntukkan kerusi parlimen sama ada dalam kalangan negeri persekutuan atau secara perwakilan berkadar antara parti.

Menurut laporan Anadolu Ajansi, tinjauan pendapat menunjukkan persaingan sengit antara kelompok tengah Perikatan Demokratik (AD) yang diketuai oleh Perdana Menteri Luis Montenegro dan Parti Sosialis (PS) yang dipimpin oleh Pedro Nuno Santos, dengan kedua-dua parti mencatatkan sokongan sekitar 30 peratus.

Parti sayap kanan Chega dijangka menjadi parti ketiga terbesar di parlimen dengan memperoleh 18 hingga 20 peratus undi, sementara Inisiatif Liberal (IL), Blok Kiri (BE) dan Parti Komunis Portugis (PCP) turut dijangka memenangi kerusi.

Memandangkan tiada parti dijangka memperoleh 116 kerusi yang diperlukan untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah, sebuah kerajaan minoriti dijangka dibentuk.

Pilihan raya ini diadakan susulan kejatuhan kerajaan minoriti AD pimpinan Montenegro yang berhaluan tengah-kanan selepas tewas dalam undi percaya pada 11 Mac, berikutan dakwaan konflik kepentingan melibatkan perniagaan keluarga Montenegro, Spinumviva.

Presiden Marcelo Rebelo de Sousa membubarkan parlimen dan mengumumkan pilihan raya pada 13 Mac.

-- BERNAMA


#pilihan raya #Portugal #parlimen Portugal #pengundi Portugal