Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
DUNIA

Rakyat Thailand beri penghormatan terakhir Ratu Sirikit

Ernalisa Othman 26/10/2025 | 08:36 MYT
Jasad baginda Ratu Sirikit ditempatkan di Balai Dusit Maha Prasat untuk upacara penghormatan diraja. - Reuters
THAILAND: Ribuan rakyat Thailand berpakaian serba hitam membanjiri kawasan Istana Diraja Bangkok dan sepanjang laluan perarakan membawa jasad Ratu Sirikit bagi menzahirkan kesetiaan serta penghormatan terakhir kepada mendiang baginda.

Orang ramai mula memenuhi kawasan Sanam Luang berhampiran Istana Diraja seawal pagi bagi menghadiri upacara mempersembahkan air sempena istiadat memandikan jasad diraja yang berlangsung di Pavilion Sahathai Samakhom dalam pekarangan istana.

Biro Rumah Tangga Diraja dalam kenyataan memaklumkan, orang awam dijemput hadir bagi menyertai persembahan air itu bermula pukul 8.30 pagi hingga tengah hari sebelum jasad baginda dibawa ke istana pada jam 4 petang.

Perarakan diraja sejauh 10 kilometer itu bermula dari Hospital Memorial Raja Chulalongkorn, tempat baginda bersemayam sebelum mangkat, melalui beberapa jalan utama termasuk Henri Dunant, Rama IV, Phaya Thai, Si Ayutthaya, Ratchadamnoen dan Na Phra Lan sebelum tiba di Istana Diraja.

Jasad baginda kemudian ditempatkan di Balai Dusit Maha Prasat untuk upacara penghormatan diraja. Ramai rakyat dilihat mula berkumpul di sekitar laluan perarakan sejak malam Sabtu bagi memberi penghormatan terakhir.



#penghormatan akhir #ratu sirikit #istiadat pemandian #Thailand #istana diraja thailand #thailand berkabung