KATHMANDU: Nepal memilih seorang demokrat sosial sebagai Presiden ketiganya sejak negara Himalaya itu menamatkan pemerintahan beraja berkurun-kurun lamanya.

Pemilihan Ram Chandra Paudel, 78, dilakukan selepas perpecahan dalam gabungan pemerintah dikuasai komunis yang diketuai oleh Perdana Menteri, Pushpa Kamal Dahal, bekas ketua pemberontak Maoist.

Bulan lalu, Dahal menyokong Paudel, calon Parti Pembangkang Kongres Nepal, berbanding calon yang diletakkan oleh rakan gabungan utamanya, Parti Marxist-Leninist Bersatu Komunis (UML).

Sehubungan itu, UML menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri, memaksa beliau menghadapi undi tidak percaya bulan ini.

Serentak perkembangan terbaharu itu, Dahal dijangka membentuk gabungan baharu dengan Parti Kongres Nepal dan kumpulan kecil lain dalam tempoh dua minggu akan datang.

Pegawai parti berkata, beliau turut menghadapi krisis lain susulan Mahkamah Agung akan mendengar petisyen menuntut penahanannya dan penyiasatan terhadap kepimpinannya semasa perang saudara selama sedekad yang mengorbankan ribuan orang sebelum ia berakhir pada 2006.

Televisyen Nepal yang dikendalikan kerajaan berkata Paudel, bekas Speaker Parlimen, dipilih oleh majoriti 566 ahli kedua-dua Dewan Parlimen dan ahli tujuh Dewan Wilayah, mengalahkan pesaingnya Subas Chandra Nemwang dari Parti UML.

Penganalisis berkata cabaran terbesar bagi Presiden baharu ialah mengekalkan peranan perlembagaan yang tidak berat sebelah.

Paudel, ahli politik berpengalaman, menggantikan Bidhya Devi Bhandari, yang bersara minggu depan pada penghujung penggal lima tahunnya.