DUNIA

AS rancang semak sejarah media sosial pengembara program penepian visa

Bernama 10/12/2025 | 23:20 MYT
Pejabat CBP di San Diego, California. - Gambar fail
ISTANBUL: Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) pada Selasa mencadangkan satu peraturan yang akan mewajibkan pengembara dari Britain, Perancis, Jerman dan Korea Selatan mengemukakan sehingga lima tahun sejarah media sosial mereka di bawah program penepian visa AS.

Lapor Anadolu Ajansi, cadangan itu terpakai kepada pelawat yang dibenarkan memasuki AS sehingga 90 hari tanpa visa, dengan syarat mereka memperoleh kebenaran perjalanan elektronik.

CBP berkata dalam satu pemfailan bahawa ia merancang mendapatkan maklumat peribadi terperinci daripada pemohon, termasuk akaun media sosial, alamat e-mel sepanjang 10 tahun lepas serta butiran mengenai ibu bapa, pasangan, adik-beradik dan anak-anak seperti nama, tarikh lahir, tempat lahir dan tempat tinggal.

CBP berkata ia akan membuka tempoh maklum balas awam selama 60 hari terhadap cadangan itu.

Agensi itu menyatakan bahawa rancangan itu adalah susulan langkah terdahulu kerajaan yang memerlukan semakan media sosial bagi kategori visa tertentu termasuk pekerja mahir H-1B serta pemohon visa pelajar dan sarjana.

-- BERNAMA



#Amerika Syarikat #program penepian visa #media sosial #CBP