INTERNATIONAL
Rang undang-undang halang Brexit tanpa perjanjian diluluskan Parlimen Britain

Perdana Menteri Britain, Boris Johnson kehilangan majoriti undi daripada anggota partinya sendiri selepas bekas menteri Phillip Lee berpaling tadah. - Gambar fail/AP
Parlimen Britain meluluskan rang undang-undang yang menghalang langkah membawa keluar Britain dari Kesatuan Eropah (EU), atau Brexit tanpa perjanjian pada 31 Oktober dalam sesi undian penting pada Rabu, lapor agensi berita Turki Anadolu.
Pembangkang yang disokong lebih 20 anggota parti Tory (Parti Konservatif) mengundi menentang langkah untuk membawa keluar United Kingdom (UK) dari EU tanpa perjanjian, iaitu sesuatu yang sangat penting untuk kerajaan, sekaligus memohon pelanjutan tempoh dari EU sekiranya gagal mencapai kata sepakat menjelang akhir Oktober.
Seramai 327 anggota Parlimen mengundi untuk undang-undang yang perlu disegerakan itu namun masih memerlukan kelulusan Dewan Negara dan perkenan diraja.
Sementara itu, seramai 299 anggota Parlimen menolak undang-undang berkenaan.
Perdana Menteri Britain, Boris Johnson kehilangan majoriti undi daripada anggota partinya sendiri selepas bekas menteri Phillip Lee berpaling tadah menyokong parti Lib Dems (Liberal Demokrat) yang menyebabkan beliau terpaksa menanggung kekalahan pertama di Parlimen pada Rabu.
Meskipun perdebatan dan perbincangan berlarutan sehingga malam, Perdana Menteri itu sekali lagi tidak mendapat sokongan dan tidak memperoleh majoriti dua pertiga undi yang diperlukan untuk mengadakan pilihan raya umum.
Kerajaan gagal meraih sokongan dua pertiga anggota Parlimen selepas 298 menyokong, 56 menentang dan bakinya berkecuali. - Bernama
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami