Rangka dinosaur spesies Titanosaur ditemui di Selatan Perancis

Sinar Harian
Mac 22, 2024 01:30 MYT
Penyelidik menganggarkan haiwan dengan empat kaki itu wujud pada Zaman Jurassic hingga akhir Zaman Cretaceous, kira-kira 163.5 juta hingga 66 juta tahun yang lalu. - Foto agensi
RANGKA dinosaur hampir lengkap ditemui di hutan Montouliers, Selatan Perancis pada Mei 2023 disahkan sebagai spesies Titanosaur yang dianggarkan berusia 70 hingga 72 juta tahun yang lalu.
Persatuan Kebudayaan Arkeologi dan Paleontologi di Muzium Cruzy dan Pusat Penyelidikan Saintifik Kebangsaan Perancis yang menjalankan kerja penggalian mengesahkan rangka dinosaur hampir lengkap itu ditemui bersambung dari tengkorak belakang ke ekornya sepanjang 10 meter.
Menurut laman web CNN pada 8 Mac lalu, fosil tersebut kali pertama ditemui oleh seorang ahli paleontologi amatur berusia 25 tahun, Damien Bosccheto semasa berjalan di hutan berkenaan menerusi laporan yang dikeluarkan oleh media tempatan, France Blue.
Boschetto, yang berpengalaman selama lapan tahun dalam bidang berkenaan memberitahu CNN bahawa usaha membawa keluar fosil untuk penyelidikan saintifik selepas ini bakal merungkai ekosistem dan kehidupan haiwan itu.
Penyelidik menganggarkan haiwan dengan empat kaki itu wujud pada Zaman Jurassic hingga akhir Zaman Cretaceous, kira-kira 163.5 juta hingga 66 juta tahun yang lalu.
Wilayah di mana Boschetto menemui spesimen itu juga kaya dengan sumber fosil dinosaur dan spesies lain yang terperangkap dalam batu kapur menyebabkan persatuan itu tidak menghebahkan lokasi penemuan demi melindungi tapak arkeologi berkenaan.
Titanosaur tergolong dalam kumpulan dinosaur lebih besar yang dikenali sebagai sauropod, keluarga herbivor berleher panjang yang merupakan spesies dinosaur terbesar pada zaman itu.
Menurut Boschetto, sisa-sisa fosil Titanosaur ditemui secara meluas di Eropah, tetapi hanya sedikit yang ditemui dalam keadaan lengkap.
Jelasnya, rangka dalam keadaan bersambung menunjukkan bangkai dinosaur berkenaan telah tertanam sebelum ia mula mereput hingga menyebabkannya meninggalkan beberapa tisu yang menghubungkan tulang antara satu sama lain.
“Kami merancang untuk meneruskan penyelidikan mengenai fosil, mencari lagi kawasan dan masih berusaha mencari dana untuk mewujudkan muzium berskala besar yang boleh menyimpan serta mempamerkan koleksi ini," kata Boschetto. - Sinar Harian
#Rangka dinosaur #titanosaur #Muzium Cruzy #Damien Bosccheto