Rangka T. rex dilelong lebih RM27 juta

Astro Awani
April 18, 2023 22:45 MYT
Rangka dinosaur T. rex berusia 67 juta tahun yang diberi nama TRX-293 TRINITY Tyrannosaurus dipamerkan di rumah lelongan Koller di Zurich, Switzerland. - Foto REUTERS
RANGKA seekor dinosaur berusia 67 juta tahun dilelong pada Selasa dengan harga AS$6.2 juta (RM27.5 juta) kepada individu persendirian.
Ini kali pertama rangka Tyrannosaurus rex telah dilelong di Eropah.
Ia dilelong oleh rumah lelongan Koller di Zurich, Switzerland.
Dinamakan '293 Trinity', rangka ini dibina daripada tiga T. rex berlainan yang ditemui di beberapa tempat di Amerika Syarikat (AS).
Ia mengandungi 293 tulang berasingan dan spesimen yang dikumpul dari tahun 2008 hingga 2013.
Sebahagian besar rangka dinosaur yang dilelong mengandungi bahagian yang dibuat semula namun lebih daripada separuh rangka 293 Trinity merupakan tulang.
Spesimen ini disifatkan sebagai "salah satu rangka T. rex paling hebat yang wujud" dan ia berukuran 11.6 meter panjang serta 3.9 meter tinggi.
Dengan lelongan ini, para saintis bimbang dengan peningkatan bilangan rangka dinosaur dalam simpanan individu persendirian.
Ini bukan kali pertama lelongan rangka T. rex diadakan namun ia jarang berlaku.
Tahun lepas rangka T. rex yang dijangka akan mencecah AS$25 juta (RM110.86 juta) dalam satu lelongan telah ditarik balik selepas wujud keraguan berkenaan bahagian rangka itu.
#Rangka dinosaur #Tyrannosaurus Rex #Koller #293 Trinity