HAMPIR 200 kakitangan Facebook telah menandatangani surat mendesak syarikat memberi perhatian terhadap aduan suara pro-Palestin disekat oleh sistem penyederhanaan kandungan laman sosial itu.

Menurut laporan The Financial Times, surat itu mendesak barisan kepimpinan Facebook untuk memperkenalkan langkah-langkah baharu bagi memastikan kandungan pro-Palestin tidak disekat atau dipadam, seperti yang berlaku ketika serangan di Gaza baru-baru ini.

Kakitangan Facebook turut meminta pihak pengurusan untuk mengenakan sistem audit daripada pihak ketiga terhadap penguatkuasaan kandungan melibatkan Arab dan Muslim.

Ia turut merujuk kepada satu muat naik oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang menyifatkan warga Palestin sebagai pengganas.

Surat berkenaan pada masa sama turut menggesa agar para eksekutif Facebook untuk menubuhkan pasukan khas untuk "menyiasat dan menangani kemungkinan berlakunya berat sebelah" dalam sistem penyiaran kandungannya.

Menurut laporan, surat tersebut telah menerima kira-kira 174 tandatangan tanpa nama pekerja-pekerja yang tidak berpuas hati dengan pihak atasan di Facebook.

"Kami yakin Facebook boleh dan harus melakukan lebih banyak perkara untuk memahami pengguna dan berusaha untuk membina semula kepercayaan mereka,” kata surat berkenaan.

Ketika serangan Israel di Gaza bulan lalu, Facebook melabelkan kata-kata yang digunakan oleh pengguna Palestin, seperti "syahid" dan "jihad", sebagai perkataan berunsur hasutan dan berkaitan keganasan.

Facebook juga telah menarik semula catatan mengenai Masjid Al-Aqsa selepas tersalah kait tempat suci itu sebagai pusat organisasi pengganas.