DUNIA

Ratusan ribu sertai perarakan Black Nazarene di Filipina

Astro Awani 09/01/2026 | 04:45 MYT
Sekitar 439,000 orang telah menyertai perarakan menjelang jam 8 pagi, menurut penganjur, dengan jumlah dijangka terus meningkat sepanjang hari. - Foto AP
MANILA: Ratusan ribu penganut Katolik di Filipina membanjiri jalan-jalan ibu kota pada Jumaat bagi menyertai perarakan tahunan patung berabad-abad Jesus, dikenali sebagai Black Nazarene, dalam salah satu perhimpunan keagamaan terbesar dunia.

Perarakan tahun ini bukan sahaja menjadi lambang keimanan, malah turut dijadikan pentas untuk mengecam amalan rasuah dalam kalangan pemimpin negara yang masih dibelenggu skandal penyelewengan.

Sekitar 439,000 orang telah menyertai perarakan menjelang jam 8 pagi, menurut penganjur, dengan jumlah dijangka terus meningkat sepanjang hari.

Para penganut berpusu-pusu menarik tali tebal yang mengheret kereta usungan patung, manakala yang lain berebut menyentuh patung yang disimpan dalam kotak kaca, satu tindakan yang dipercayai membawa keberkatan dan penyembuhan.

Patung Black Nazarene, yang menggambarkan Jesus dalam posisi separuh berlutut sambil memikul salib kayu, dipercayai berasal dari abad ke-17 dan dibawa dari Mexico ke Filipina pada era perdagangan galleon ketika negara itu masih di bawah penjajahan Sepanyol.

Beberapa pemimpin gereja mengambil kesempatan sempena perayaan ini untuk menyuarakan kekecewaan terhadap pemimpin politik yang dikaitkan dengan skandal projek tebatan banjir yang terlalu mahal dan tidak dibina, yang telah menjejaskan pelaburan dan pertumbuhan ekonomi negara.

Uskup Rufino Sescon, bekas paderi Gereja Quiapo yang menjaga patung Black Nazarene, menyeru umat agar mencontohi kerendahan hati Jesus, tidak seperti segelintir pemimpin yang enggan melepaskan kuasa walaupun berdepan tuduhan salah laku.

“Kasihanilah negara ini,” katanya dalam ucapan.

“Kamu sepatutnya malu; berundurlah secara sukarela demi kasih dan belas kasihan.”

Perarakan ini dikenali sebagai "traslacion", yang memperingati pemindahan patung Black Nazarene dari sebuah gereja di Intramuros ke lokasi semasanya di Gereja Quiapo.

Hampir 80 peratus rakyat Filipina beragama Katolik, menjadikan acara ini sebagai simbol keimanan dan solidariti yang mendalam dalam masyarakat.

Walaupun penuh sesak dan mencabar, perarakan ini terus menjadi tradisi yang dihormati dan diraikan saban tahun, kini turut menjadi suara rakyat menuntut keadilan dan integriti dalam kepimpinan negara.






#Black Nazarene #patung Jesus #Katholik #Rasuah