DUNIA
Ratusan wartawan VOA dipecat ketika Trump laksana penstrukturan besar-besaran
Sejak Mac, lebih 85 peratus tenaga kerja VOA - kira-kira 1,400 orang - telah diberhentikan. - Foto REUTERS
WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Donald Trump telah memecat lebih 600 wartawan Voice of America (VOA), dalam langkah yang disifatkan oleh pengkritik sebagai “penghapusan bersejarah” terhadap salah satu institusi media bebas tertua yang dibiayai kerajaan Amerika Syarikat (AS).
Menurut laporan media AS, sebanyak 639 kakitangan menerima notis penamatan pada Jumaat lalu, termasuk wartawan berbahasa Parsi yang baru dipanggil semula bertugas selepas serangan Israel ke atas Iran.
Sejak Mac, lebih 85 peratus tenaga kerja VOA - kira-kira 1,400 orang - telah diberhentikan.
Kari Lake, ketua agensi induk VOA, US Agency for Global Media (USAGM), menyatakan bahawa tindakan ini adalah sebahagian daripada usaha untuk “mengecilkan birokrasi persekutuan yang tidak terkawal” dan “menghapuskan pembaziran serta berat sebelah” dalam organisasi tersebut.
Namun, tindakan ini mencetuskan kemarahan dalam kalangan wartawan dan aktivis kebebasan media.
Steve Herman, Ketua Wartawan Nasional VOA, menyifatkan langkah itu sebagai “tindakan sabotaj diri yang bersejarah” terhadap misi asal VOA yang ditubuhkan semasa Perang Dunia Kedua untuk menentang propaganda Nazi.
Tiga wartawan VOA yang sedang menyaman kerajaan bagi menghalang pembubaran rangkaian itu menyatakan bahawa pemecatan ini “menandakan kematian 83 tahun kewartawanan bebas yang menjunjung nilai demokrasi dan kebebasan AS”.
Langkah ini juga menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan wartawan asing yang bekerja untuk rangkaian media AS di negara-negara dengan kebebasan media yang terhad, seperti China, Rusia dan Korea Utara.