Skip to main content

Dunia

Rekod suhu Jun UK dipecah tiga kali dalam sehari ketika gelombang haba memuncak

People walk in the shade in London, as a heatwave is forecast to develop in the coming days, Friday, June 19, 2026. (AP Photo/Kin Cheung)
Orang ramai berjalan di kawasan teduh di London ketika gelombang haba diramalkan melanda dalam beberapa hari akan datang. - Foto AP
Advertisement

LONDON: Rekod suhu tertinggi bagi bulan Jun di United Kingdom dipecahkan sebanyak tiga kali dalam tempoh satu hari, ketika gelombang haba melampau terus melanda negara itu, menurut Jabatan Meteorologi UK (Met Office).

Suhu tertinggi mencecah 36.7°C direkodkan di Merryfield, Somerset, selepas bacaan sebelumnya 36.6°C di Yeovilton, yang turut mengatasi rekod terdahulu pada hari yang sama.

Sebelum itu, suhu 36.4°C telah pun memecahkan rekod Jun, menjadikannya dua hari berturut-turut rekod baharu dicatatkan.

Met Office telah melanjutkan amaran merah cuaca panas melampau sehingga Jumaat bagi London dan beberapa kawasan di tenggara England, berikutan keadaan suhu tinggi yang semakin kritikal.

Gelombang haba ini turut menyaksikan malam Jun terpanas pernah direkodkan di UK, dengan suhu di Cardiff kekal melebihi 23.5°C sepanjang malam.

Cuaca panas berpanjangan ini memberi tekanan besar kepada perkhidmatan awam serta infrastruktur.

Syarikat pembekal air, South East Water, telah melaksanakan larangan penggunaan hos air (hosepipe ban) yang menjejaskan kira-kira 850,000 pengguna di Kent, berikutan permintaan air yang melonjak tinggi.

Ketua Meteorologi Met Office, Andy Page, berkata cuaca panas dan lembap luar biasa ini dijangka berterusan dalam tempoh terdekat.

“Gelombang haba ini masih akan berterusan, walaupun beberapa kawasan mungkin mengalami sedikit penurunan suhu daripada kemuncak sebelum ini,” katanya.

Beliau menambah bahawa suhu maksimum siang hari berpotensi melebihi 36°C, malah boleh mencecah sehingga 37°C di sesetengah kawasan.

Walaupun amaran merah di beberapa kawasan dijangka tamat dalam tempoh terdekat, suhu tinggi masih dijangka melanda sebahagian besar England dan Wales.

Pihak berkuasa terus menasihatkan orang ramai untuk mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan risiko kesihatan akibat cuaca panas melampau ini.

Gelombang haba yang berterusan ini menimbulkan kebimbangan terhadap kesan jangka panjang kepada kesihatan awam, bekalan air serta kestabilan infrastruktur negara.
 

 

Must Watch Video

Advertisement