Seorang remaja bertindak membunuh seorang lelaki selepas dipercayai menjalinkan hubungan sulit dengan ibunya di New Delhi, India pada Selasa.

Remaja dikenali sebagai Aman berusia 20 tahun kemudiannya ditahan bersama dua rakannya, semalam.

Polis berkata, mayat lelaki berusia 40 tahun itu ditemui berbaring berlumuran darah pada petang Selasa.

Hasil pemeriksaan mendapati mangsa adalah Raju Mamraj yang terlibat dalam beberapa kes rompakan, rogol, senjata api, lapor portal Times of India.

Keluarga mangsa berkata, berlaku pergaduhan antara Raju dan Aman pada Isnin selepas remaja itu menuduh Raju mempunyai hubungan dengan ibunya.

Suspek cuba melarikan diri selepas insiden itu bagaimanapun pasukan polis berjaya mengesan lokasi Aman menerusi telefon bimbitnya.

Hasil soal siasat mendapati Aman mengaku melakukan kesalahan itu bersama dua lagi rakannya, Ashish dan Sahil.

Ketiga-tiga mereka menyerbu dan menikam Raju di Sektor-7 pada Isnin malam sebelum melarikan diri.