[TERKINI] Amir Hamzah Jalankan Tugas Menteri Ekonomi Berkuat Kuasa Serta-Merta – RMK13 Jadi Tumpuan | Berita Lanjut di Sini
INTERNATIONAL

Remaja lelaki 15 tahun ditahan berhubung kes bunuh wanita warga emas di Chiba

Bernama 12/05/2025 | 21:10 MYT
Polis berkata, seorang pejalan kaki membuat panggilan kecemasan melaporkan seorang wanita warga emas tidak sedarkan diri dan dalam keadaan berdarah di jalan raya pada petang Ahad. - Gambar hiasan
CHIBA (Jepun): Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun ditahan pada Isnin kerana disyaki menikam hingga mati seorang wanita warga emas di sebuah jalan di Chiba, berhampiran Tokyo, pada Ahad, menurut agensi berita Kyodo yang memetik kenyataan polis.
Pelajar sekolah menengah rendah itu, yang tinggal di bandar berkenaan, mengaku membunuh Yayoi Takahashi, 84, dengan menikam belakang mangsa sejurus selepas pukul 5 petang Ahad. Polis percaya suspek tidak mengenali mangsa.
Menurut sumber siasatan, remaja itu memberitahu pihak berkuasa bahawa dia "terasa ingin membunuh seseorang" dan tidak kisah siapa mangsanya.
Takahashi ditemukan terbaring berlumuran darah di atas jalan di kawasan perumahan kira-kira satu kilometer ke timur Stesen JR Tsuga pada petang Ahad dan disahkan meninggal dunia di hospital.
Polis berkata seorang pejalan kaki membuat panggilan kecemasan melaporkan seorang wanita warga emas tidak sedarkan diri dan dalam keadaan berdarah di jalan raya.
-- BERNAMA
#bunuh wanita warga emas #Chiba #tikam #remaja ditahan