Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
DUNIA

Remaja Palestin terbunuh, 4 cedera dalam serangan tentera Israel di Tebing Barat

Bernama 17/11/2025 | 01:10 MYT
Serangan oleh tentera Israel dan pendatang haram semakin meningkat di Tebing Barat sejak perang Gaza pada Oktober 2023, mengakibatkan lebih 1,073 warga Palestin terbunuh dan 10,700 lagi cedera, menurut data Palestin. - Gambar fail AP
RAMALLAH: Seorang remaja lelaki Palestin terbunuh manakala empat lagi cedera dalam serangan tentera Israel di Tebing Barat pada Ahad, lapor Anadolu Ajansi memetik Kementerian Kesihatan.

Kementerian itu dalam satu kenyataan memaklumkan, seorang remaja berusia 15 tahun ditembak mati oleh tentera Israel di kem pelarian al-Faria, selatan bandar Tubas.

Agensi berita rasmi Wafa melaporkan, pasukan perubatan merawat dua mangsa yang mengalami kecederaan serpihan peluru di kem itu, manakala ambulans dihalang daripada membawa seorang lagi remaja yang cedera, sebelum mangsa disahkan meninggal dunia.

Saksi memberitahu Anadolu bahawa pertempuran tercetus apabila tentera Israel menyerbu kem berkenaan dan melepaskan tembakan secara berterusan, menyebabkan kecederaan.

Di utara Tebing Barat, Wafa melaporkan dua warga Palestin cedera di Jenin selepas kenderaan tentera Israel merempuh sebuah teksi sehingga tercampak ke arah kereta lain di Jalan Haifa, barat bandar itu.

Serangan oleh tentera Israel dan pendatang haram semakin meningkat di Tebing Barat sejak perang Gaza pada Oktober 2023, mengakibatkan lebih 1,073 warga Palestin terbunuh dan 10,700 lagi cedera, menurut data Palestin.

-- BERNAMA
#konflik Gaza #remaja Palestin maut #israel serang gaza #kem pelarian al-Faria