INTERNATIONAL
Remaja perempuan maut diserang singa di Nairobi
Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun maut selepas diserang seekor singa di kawasan pinggir ibu negara Kenya, Nairobi. - Gambar hiasan Feuters
NAIROBI: Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun maut selepas diserang seekor singa di kawasan pinggir ibu negara Kenya, Nairobi, menurut kenyataan dikeluarkan Perkhidmatan Hidupan Liar Kenya (KWS).
Mangsa dikatakan telah dibaham dari sebuah kawasan kediaman di sebuah ladang berhampiran Taman Negara Nairobi, kata agensi pemuliharaan itu.
Insiden tersebut disedari oleh seorang lagi remaja yang kemudian membunyikan amaran, sebelum renjer KWS menjejak kesan tapak haiwan tersebut sehingga ke Sungai Mbagathi, di mana mayat pelajar sekolah rendah itu ditemukan.
Singa berkenaan masih belum berjaya dikesan, namun KWS memaklumkan, pihaknya telah memasang perangkap dan menggerakkan pasukan mencari bagi menjejaki haiwan pemangsa tersebut.
KWS turut memaklumkan, langkah-langkah keselamatan tambahan telah diambil bagi mengelakkan sebarang insiden serangan susulan.
Taman Negara Nairobi terletak hanya 10 kilometer dari pusat bandar dan merupakan habitat kepada pelbagai spesies hidupan liar termasuk singa, kerbau, zirafah, harimau bintang dan cheetah.
Taman itu dipagari di tiga bahagian bagi menghalang haiwan liar memasuki kawasan bandar, namun dibuka di bahagian selatan bagi membolehkan haiwan bermigrasi keluar dan masuk ke kawasan tersebut.
Walaupun konflik antara manusia dan singa sering berlaku di Kenya, terutamanya melibatkan ternakan, insiden serangan maut ke atas manusia jarang terjadi.
Tahun lalu, rakaman CCTV menunjukkan seekor singa membaham anjing Rottweiler dari sebuah kediaman lain berhampiran taman tersebut.
Dalam kejadian berasingan pada Sabtu lalu, seorang lelaki berusia 54 tahun turut maut selepas diserang seekor gajah di daerah Nyeri, kira-kira 130 kilometer di utara Nairobi.
Lelaki berkenaan diserang ketika gajah itu sedang meragut di Hutan Mere. Mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian dada, patah tulang rusuk serta trauma dalaman, sebelum meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital berdekatan.
Ketua kumpulan pemuliharaan WildlifeDirect, Paula Kahumbu berkata, kejadian ini bukan kes terpencil dan menggesa KWS mempertingkat penilaian risiko serta memastikan komunikasi tepat dan masa nyata mengenai pergerakan serta tingkah laku haiwan liar, khususnya di kawasan berisiko tinggi seperti Ladang
Savannah, lokasi serangan singa ke atas remaja perempuan itu.
Beliau turut mengesyorkan semua rumah penginapan, kem, dan kediaman berhampiran kawasan habitat haiwan liar dilengkapi sistem pencegah pemangsa, termasuk lampu, penggera, pagar keselamatan, dan semburan khas anti-pemangsa.
"Langkah pencegahan adalah benteng pertahanan pertama dan terbaik kita," tegasnya. - Agensi