SEOUL: Polis Korea Selatan telah menyelesaikan siasatan yang mengambil masa berbulan-bulan pada Jumaat mengenai rempuhan orang ramai yang membawa maut di kejiranan Itaewon, ibu kota Seoul tahun lepas, dengan 23 pegawai kerajaan dirujuk kepada pihak pendakwaan atas kecuaian profesional yang membawa maut serta pertuduhan lain.

Pasukan penyiasat khas polis merumuskan rempuhan orang ramai itu merupakan bencana "buatan manusia" disebabkan kegagalan pihak berkuasa untuk mengambil langkah pencegahan bencana dan bertindak balas segera terhadap situasi kecemasan, lapor Yonhap.

Rempuhan itu membunuh 159 orang, kebanyakannya wanita berumur 20-an, di lorong sempit dan bercerun pada 29 Oktober ketika orang ramai memenuhi laluan itu. Kira-kira 100,000 orang berkumpul di kawasan hiburan malam itu untuk sambutan Halloween.

Pasukan penyiasat yang terdiri daripada 501 pegawai mula beroperasi pada 1 Nov dan menyiasat pejabat daerah dan polis, bomba dan agensi berkaitan lain di Yongsan, yang mentadbir Itaewon, untuk mengetahui punca tragedi maut itu.

Pasukan penyiasat merumuskan bahawa tiada tindakan menyelamat kecemasan atau kawalan bencana yang sewajarnya diambil oleh setiap agensi mengikut garis panduan yang berkaitan untuk situasi kecemasan, yang membawa kepada angka kematian yang tinggi.

Antara yang dirujuk kepada pihak pendakwaan dan ditahan ialah ketua pejabat daerah Yongsan Park Hee-young dan bekas ketua Balai Polis Yongsan Lee Im-jae, kedua-duanya atas tuduhan kecuaian profesional yang mengakibatkan kematian.

Empat lagi polis dan pegawai daerah Yongsan yang turut dirujuk kepada pihak pendakwaan dan ditahan termasuk bekas pegawai Agensi Polis Metropolitan Seoul (SMPA) yang didakwa memadam laporan dalaman yang memberi amaran tentang kesesakan Halloween dan kemungkinan kemalangan.

Ketua SMPA Kim Kwang-ho, dua lagi pegawai SMPA yang bertanggungjawab dalam pemantauan kecemasan, ketua Balai Bomba Yongsan Choi Seong-beom, ketua pusat kesihatan masyarakat Yongsan dan ketua Stesen Kereta Api Bawah Tanah Itaewon turut dirujuk kepada pihak pendakwaan atas kecuaian profesional yang membawa maut atau pertuduhan lain yang berkaitan.

Berikutan pemindahan kes itu, pendakwa raya dijangka menjalankan siasatan lanjut untuk memutuskan sama ada mereka akan dibicarakan.

Sementara itu, pasukan penyiasat polis memutuskan untuk tidak menahan mana-mana pegawai kementerian dalam negeri, kerajaan bandar Seoul atau agensi polis kebangsaan memandangkan mereka tidak bertanggungjawab untuk tugas kawalan orang ramai.

-- BERNAMA