[TERKINI] Senarai Lengkap Kabinet Baharu MADANI – Siapa Pegang Portfolio Utama?
DUNIA

Replika Patung Liberty tumbang akibat angin kencang di Brazil

Astro Awani 16/12/2025 | 00:20 MYT
Insiden dramatik itu dirakam dalam beberapa video yang tular di media sosial.
GUAIBA: Sebuah replika Patung Liberty setinggi 24 meter yang terletak di luar gedung beli-belah Havan di Guaíba, selatan Brazil, tumbang akibat ribut kuat yang melanda kawasan itu pada Isnin, menurut laporan media tempatan.

Ribut tersebut, yang disertai angin kencang melebihi 90 km/j, menyebabkan struktur ikonik itu perlahan-lahan condong ke hadapan sebelum rebah ke kawasan tempat letak kereta yang telah dikosongkan lebih awal.

Insiden dramatik itu dirakam dalam beberapa video yang tular di media sosial.

Pihak berkuasa tempatan mengesahkan tiada kecederaan dilaporkan kerana kawasan sekitar telah dikosongkan sebagai langkah berjaga-jaga selepas amaran cuaca buruk dikeluarkan oleh agensi pertahanan awam, Defesa Civil.

Tindakan pantas orang awam yang mengalihkan kenderaan dari kawasan berisiko turut membantu mengelakkan kerosakan harta benda.

Replika tersebut, yang dipasang pada tahun 2020 dengan pensijilan kejuruteraan, merupakan sebahagian daripada identiti visual rangkaian pasar raya Havan yang terkenal di Brazil.

Struktur itu dibina di atas tapak setinggi 11 meter yang kekal utuh walaupun patung utama tumbang.

Datuk Bandar Guaíba, Marcelo Maranata, mengesahkan bahawa siasatan sedang dijalankan bagi menilai tahap kerosakan dan keselamatan struktur lain di kawasan tersebut.

Beliau turut memuji tindakan pantas pasukan keselamatan dan orang awam yang membantu mengelakkan tragedi.






#patung liberty #replika #tumbang #ribut