PERHATIAN kini tertumpu kepada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) yang dijangka mengundi untuk gencatan senjata segera di Semenanjung Gaza berikutan permintaan rasmi daripada Mesir dan Mauritania, menggunakan Resolusi 377A (V) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Langkah itu diambil selepas Majlis Keselamatan PBB (UNSC) pada Jumaat lepas gagal meluluskan draf resolusi menggesa gencatan senjata kemanusiaan di Gaza, apabila Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa vetonya.

Resolusi 377 yang juga dikenali sebagai 'Uniting for Peace' (Bersatu untuk Keamanan), memberi kuasa kepada UNGA untuk bertindak apabila UNSC gagal mengekalkan keselamatan dan keamanan antarabangsa akibat ketiadaan sokongan sebulat suara dalam kalangan lima anggota tetapnya (P5) - China, Perancis, United Kingdom, AS dan Rusia.

Walaupun terdapat keyakinan bahawa sesi khas UNGA akan merealisasikan hasrat untuk menghentikan pencerobohan Israel di Gaza, penganalisis berpendapat bahawa kebanyakan resolusi UNGA masih memerlukan kerjasama daripada semua negara anggota termasuk P5 UNSC yang sering dilihat sebagai batu penghalang.

Dr Oh Ei Sun, Penasihat Utama di Pusat Penyelidikan Pasifik Malaysia menegaskan bahawa tanpa kerjasama dan penguatkuasaan daripada P5, kebanyakan resolusi UNGA hanya berakhir sebagai cadangan semata-mata.

Beliau yang juga Fellow Kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata kebolehgunaan Resolusi 377A PBB untuk mengetepikan veto anggota tetap UNSC adalah isu yang dipertikaikan, tanpa wujud tindakan seumpamanya yang berjaya setakat ini.

"Ia berkemungkinan tidak membawa apa-apa hasil seperti banyak gesaan sebelum ini. Hakikat " yang mesti diterima" P5, walaupun berbeza ideologi, mempunyai kepentingan bersama untuk tidak menjadikan (Resolusi) 377A benar-benar berkesan kerana itu akan menghakis kuasa veto mereka," katanya.

Sebaliknya, Dr Ahmad Badri Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) Malaysia, menyebut bahawa Resolusi 377A tidak mempunyai kuasa langsung untuk mengetepikan veto AS kerana ia tidak mengikat daripada segi undang-undang.

Bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa resolusi "Bersatu untuk Keamanan" mencerminkan hati nurani secara kolektif masyarakat global dan memberi tekanan moral dan politik kepada pihak-pihak yang terlibat dalam konflik Gaza.

Di sebalik simbolisme, resolusi itu menawarkan peluang untuk mengumpul pendapat umum global dan mempromosikan penyelesaian damai dan usaha bersama seperti operasi pengaman atau campur tangan kemanusiaan yang sangat diperlukan di Gaza.

Dr Ahmad Badri juga berkata kemungkinan untuk mendesak PBB menggunakan Resolusi 377A mungkin bergantung pada tahap kesegeraan, solidariti dan penyelarasan dalam kalangan yang menyokong resolusi gencatan senjata PBB.

Kedua-dua penganalisis bersetuju bahawa kuasa Barat boleh mempengaruhi Israel untuk menghentikan serangannya ke atas Gaza, namun mereka tidak bersedia untuk berbuat demikian.

"Apabila kuasa Barat tidak berhasrat menyokong resolusi itu, ia akan kekal sebagai cadangan semata-mata," kata Dr Oh.

Dr Ahmad Badri berkata Israel, sebagai punca kepada krisis kemanusiaan ini, sangat bergantung kepada AS dan sekutu-sekutu Barat lain untuk memperoleh pelbagai bentuk sokongan yang bergantung kepada kehendak politik dan visi strategik kuasa Barat.

"Setakat ini, kuasa Barat menunjukkan kurang keazaman dan tidak konsisten dalam menggunakan pengaruh mereka dalam mengekang Israel daripada menggunakan kekerasan yang tidak seimbang dan sewenang-wenangnya terhadap penduduk Gaza yang dikepung," katanya.

Dr Ahmad Badri menekankan bahawa kegagalan untuk mengekang Israel bukan sahaja memburukkan krisis kemanusiaan di Gaza bahkan merosakkan kredibiliti dan legitimasi kuasa Barat di peringkat global, yang boleh membawa kepada munculnya blok kuasa alternatif seperti yang dlihat dalam pengaruh yang semakin meningkat dari Selatan Global.

Menurut laporan media, sekurang-kurangnya 18,205 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 49,645 lagi cedera dalam serangan udara dan darat yang tidak henti-henti ke atas Gaza sejak 7 Okt lepas.

-- BERNAMA