Retorik perkauman, antipendatang dorong doktor asing tinggalkan UK

Tenaga kesihatan dari luar negara kini melihat United Kingdom sebagai sebuah negara yang "tidak mesra dan bersifat perkauman", sekali gus menjejaskan masa depan NHS. - Gambar hiasan
LONDON: Doktor dan jururawat asing semakin menjauhkan diri daripada Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) susulan peningkatan retorik antipendatang dan sentimen perkauman yang mewujudkan persekitaran "tidak mesra", menurut seorang pemimpin perubatan Britain, lapor Anadolu Ajansi.
Dalam temu bual dengan akhbar The Guardian, Pengerusi Akademi Kolej Perubatan Diraja, Jeanette Dickson berkata, tenaga kesihatan dari luar negara kini melihat United Kingdom sebagai sebuah negara yang "tidak mesra dan bersifat perkauman", sekali gus menjejaskan masa depan NHS.
Beliau berkata, perkhidmatan kesihatan itu "boleh lumpuh dengan mudah" tanpa sokongan kakitangan asing dan memberi amaran bahawa sistem tersebut berdepan risiko kekurangan tenaga kerja yang kritikal untuk berfungsi dengan selamat.
Kenyataannya dibuat susulan data tenaga kerja terkini yang menunjukkan peningkatan mendadak jumlah doktor asing meninggalkan NHS, pemberhentian pengambilan pekerja dari luar negara selepas Brexit, serta penurunan ketara jumlah jururawat dan bidan yang menyertai perkhidmatan itu.
Menurut Majlis Perubatan Am (GMC), kira-kira 42 peratus doktor yang bekerja di United Kingdom memperoleh kelayakan di luar negara, sekali gus mencerminkan kebergantungan besar NHS terhadap tenaga kerja antarabangsa.
Dickson berkata, doktor dan jururawat kini berdepan suasana tidak mesra akibat retorik politik mengenai imigresen, liputan media yang negatif, serta pengalaman penderaan perkauman oleh rakan sekerja dan pesakit.
"Saya merasakan kita sedang mewujudkan budaya di mana naratifnya ialah 'orang luar itu tidak dialu-alukan'. Mengapa seseorang mahu datang ke tempat yang mengatakan 'kami tidak perlukan kamu, kami tidak mahukan kamu'?" katanya.
Beliau menambah bahawa sesetengah kakitangan NHS kelahiran luar negara kini berasa tidak selamat dalam kehidupan seharian mereka.
Ketua Eksekutif NHS Trust Whittington, Selina Douglas berkata, kakitangan semakin kerap berdepan insiden perkauman.
Merujuk kepada jururawat asing yang telah lama berkhidmat, beliau berkata: "Kakitangan ini menjadi mangsa penderaan perkauman di hospital kami. Saya sendiri pernah melihat kakitangan diludah ketika berjalan menaiki bukit dari stesen."
Setiausaha Kesihatan, Wes Streeting turut memberi amaran bahawa pesakit tidak berhak menyalahgunakan kakitangan kesihatan, sambil menegaskan bahawa "hak mendapatkan rawatan percuma tidak termasuk hak untuk mendera kakitangan."
Dickson turut mengkritik rancangan kerajaan untuk mengutamakan graduan perubatan tempatan bagi latihan kepakaran, sambil memberi amaran bahawa langkah itu boleh menghalang doktor asing pada saat dunia berdepan kekurangan tenaga perubatan.
"Jika negara ini tidak lagi kelihatan mesra atau orang ramai tidak berasa selamat, sedangkan Kanada, Australia dan New Zealand membuka peluang lebih luas, maka tidak mengejutkan jika ramai memilih untuk meninggalkan UK," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


