[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
DUNIA

Ribuan hilang tempat tinggal dalam kebakaran di kawasan setinggan di Dhaka

Bernama 26/11/2025 | 13:00 MYT
Kebakaran itu berlaku di kawasan setinggan Korail di kawasan Mohakhali, Dhaka, pada petang Selasa. - Foto REUTERS/Kazi Salahuddin
DHAKA: Kebakaran di sebuah kawasan setinggan terbesar di ibu negara Bangladesh, Dhaka memusnahkan lebih 1,500 kediaman, menyebabkan ribuan penduduk hilang tempat tinggal, menurut pegawai bomba pada Rabu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Kebakaran itu berlaku di kawasan setinggan Korail di kawasan Mohakhali, Dhaka, pada petang Selasa.

Tajul Islam Chowdhury, yang mengetuai operasi memadam kebakaran berkata 19 jentera bomba mengambil masa hampir 16 jam untuk memadamkan api sepenuhnya, dengan operasi tamat pada pagi Rabu.

Chowdhury berkata dianggarkan 1,500 kediaman hangus atau rosak di kawasan setinggan yang padat itu.

Beliau berkata kebakaran menyebabkan ribuan orang kehilangan tempat tinggal dan tahap kerosakan sebenar hanya akan diketahui selepas siasatan penuh dijalankan. Punca kebakaran masih belum diketahui.

Satu panel lima anggota yang dilantik kerajaan akan menyiasat kerosakan dan menentukan punca kejadian, menurut Chowdhury.

Rashed Khalid, seorang lagi pegawai di Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Pertahanan Awam berkata lorong-lorong sempit dan orang ramai di kawasan setinggan menyukarkan usaha memadamkan kebakaran.

Setinggan Korail, terletak di tepi tasik yang memisahkan kawasan mewah Gulshan dan Banani di Dhaka, menjadi tempat tinggal kepada kira-kira 100,000 orang.

Komuniti berpendapatan rendah ini tinggal di kediaman sempit dengan dinding batu bata dan bumbung zink, meliputi kawasan lebih 364,000 meter persegi. Kejadian kebakaran sering berlaku di kawasan ini.

Pada pagi Rabu, ratusan penduduk yang kehilangan rumah dilihat mengutip sisa barangan mereka.

Pegawai bomba berkata tiada laporan kehilangan jiwa setakat ini.

Minara Begum, seorang wanita pertengahan umur, berkata keluarganya yang terdiri daripada enam orang, seperti ramai penduduk lain, terpaksa bermalam di kawasan terbuka selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran itu.

-- BERNAMA


#kebakaran #kawasan setinggan #Dhaka #Bangladesh