[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla ke Gaza – Perjalanan kini Semakin Hampir. Ikuti perkembangan di sini
DUNIA

Ribuan rakyat Palestin berteduh di khemah, tunggu keputusan Pelan Damai Trump

Astro Awani 30/09/2025 | 07:45 MYT
Persoalan kini timbul sama ada Hamas akan menerima pelan tersebut, yang disertakan dengan dokumen 20 perkara dikeluarkan oleh Rumah Putih. - fotoREUTERS
GAZA: Ribuan rakyat Palestin yang terpaksa berpindah ke Gaza Tengah dan mengambil langkah berjaga-jaga untuk berteduh di khemah pelarian yang terletak di pinggir laut.

Ini susulan daripada rundingan di antara Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam memperoleh kerjasama strategik terhadap Pelan Damai AS bagi menamatkan perang hampir dua tahun di Gaza.

Trump berkata pada sidang media bersama Netanyahu di White House pada Isnin bahawa mereka berada hampir mencapai kata sepakat dengan satu perjanjian damai tidak lama lagi.

Menurut Trump, keputusan ini sukar untuk dicapai.

“Untuk memastikan kejayaan usaha ini, saya mencadangkan penubuhan sebuah badan pengawasan antarabangsa baru, Lembaga Perdamaian (Board of Peace)..Salah seorang yang mahu menjadi ahli lembaga itu ialah bekas Perdana Menteri United Kingdom, Tony Blair,” tambah Trump.

Trump berkata, keputusan berkenaan dicadangkan ketua-ketua dunia Arab, Israel dan semua yang terbabit. Lembaga Perdamaian itu akan turut disertai oleh beberapa pemimpin dunia lain, yang akan diumum dalam beberapa hari lagi.

"Lembaga Perdamaian itu akan bekerjasama dengan antara lain, Bank Dunia yang akan bertanggungjawab melatih dan melantik kerajaan sementara yang akan disertai oleh anggota-anggota dari Palestin.

"Hamas tidak akan terlibat langsung," tegas Trump.

Trump memberi amaran kepada kumpulan bersenjata, Hamas, bahawa Israel akan mendapat sokongan penuh Amerika Syarikat untuk mengambil tindakan yang difikirkan perlu sekiranya tawaran itu ditolak.

Memetik laporan Reuters, persoalan yang timbul kini sama ada Hamas akan menerima cadangan yang disertakan dengan dokumen 20 perkara dikeluarkan oleh White House.

“Tetapi jika (cadangan) ini diterima oleh Hamas, iaitu untuk meminta supaya semua tebusan yang masih ditahan dilepaskan dengan segera, namun dalam apa jua keadaan (mesti) tidak lebih daripada 72 jam, tebusan-tebusan itu akan kembali,” katanya.

Dokumen itu antara lain, menyeru gencatan senjata segera, pertukaran tahanan Hamas dengan banduan Palestin di Israel, penarikan semula tentera Israel secara berperingkat, pelucutan senjata Hamas dan pembentukan kerajaan sementara yang diketuai badan antarabangsa.

Sejak 7 Oktober lebih 66,000 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh akibat serangan Israel, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza.

Situasi ini menimbulkan ketegangan baru di wilayah itu, sementara dunia menunggu sama ada cadangan damai Amerika Syarikat dapat diterima oleh semua pihak.









#Gaza Tengah #Donald Trump #Benjamin Netanyahu #Lembaga Perdamaian